PIHAK berkuasa Mexico pada Sabtu menahan dua individu yang disyaki terlibat dalam tembakan antara kumpulan di pantai berhampiran pusat peranginan Caribbean Cancun yang menyebabkan dua orang maut.
Pertempuran bersenjata yang berlaku Khamis, adalah yang kedua menggegarkan Riviera Maya Mexico dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan merupakan satu lagi tamparan kepada industri pelancongan yang sedang pulih akibat pandemik koronavirus.
Pejabat peguam negara bagi negeri timur Quintana Roo berkata ia berjaya mengesan tiga daripada empat kenderaan yang disyaki digunakan penembak untuk ke pantai. Mereka menahan dua individu yang memandu, manakala seorang berjaya melarikan diri.
“Dua pemandu ditangkap manakala seorang lagi melarikan diri, malah berlaku kejadian tembak menembak dengan anggota polis, berjaya melarikan diri ke kawasan hutan,” kata peguam negara dalam satu kenyataan.
Pejabat itu juga berkata siasatan awal menunjukkan kumpulan yang terlibat pada hari itu berpisah daripada kartel Sinaloa yang “sedang berebut wilayah untuk penjualan dadah.”
Kejadian tembakan pada 4 November lalu berlaku di pantai di luar salah sebuah hotel resort mewah berhampiran Cancun, destinasi pelancongan yang popular.
Pihak berkuasa tempatan berkata pertembungan itu adalah antara kumpulan saingan pengedar dadah.
Mexico dilanda pertumpahan darah berkaitan kartel yang menyaksikan lebih 300,000 orang terbunuh sejak kerajaan mengerahkan tentera memerangi dadah pada 2006.
Walaupun Riviera Maya, lokasi Cancun berada dan pusat peranginan terkemuka lain termasuk Playa del Carmen dan Tulum, secara amnya dianggap lebih selamat berbanding kebanyakan termpat, terdapat peningkatan dalam keganasan.
Bulan lalu, dua pelancong dari Jerman dan India terbunuh dalam kejadian berbalas tembak antara suspek pengedar dadah di Tulum, manakala beberapa lagi cedera.
Pada 2017, tiga warga asing adalah antara lima yang terbunuh dalam kejadian tembak di festival muzik elektronik di Playa del Carmen.
Insiden itu menyebabkan negara Eropah dan Amerika Syarikat memberi amaran kepada rakyat mereka tentang risiko melawat Caribbean Mexico, antara destinasi pantai utama dunia.
Pelancongan mewakili 8.5% daripada keluaran dalam negara kasar Mexico dan merupakan aktiviti ekonomi utama di wilayah tenggara, termasuk Riviera Maya.
Walaupun Mexico kekal terbuka kepada warga asing semasa pandemik Covid-19, kemerosotan jumlah pengunjung menjejaskan industri pelancongan negara itu. – AFP, 7 November, 2021.
Komen