MAHKAMAH Rayuan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam, menghentikan sementara mandat vaksin pentadbiran Presiden Joe Biden, bertujuan mendorong jutaan kakitangan di sektor perniagaan yang mempunyai lebih 100 pekerja mendapatkan suntikan Covid-19.
Mahkamah Rayuan bagi litar Persekutuan AS berpangkalan di New Orleans berkata keputusan itu diputuskan berikutan hujah pempetisyen yang memberi sebab untuk mempercayai terdapat isu undang-undang dan perlembagaan serius dengan mandat itu, sekali gus keputusan itu kekal sementara menunggu tindakan lanjut mahkamah ini.
Mahkamah memerintahkan kerajaan menjawab usul bagi injunksi kekal pada jam 5 petang esok.
Pempetisyen termasuk lima negara pro Republikan iaitu Texas, Louisiana, South Carolina, Utah, Mississippi serta beberapa syarikat swasta dan kumpulan agama.
Jika dikekalkan, penggantungan itu memberi kejutan kepada usaha Biden bagi seluruh pekerja AS perlu divaksinasi menjelang musim sejuk, ketika jangkaan penularan semula Covid-19.
Bagaimanapun, tiada reaksi segera daripada pentadbiran Biden berhubung perkara itu.
Gabenor Texas yang juga seorang Republikan konservatif, Greg Abbott yang menentang mandat pelitup muka dan vaksin bagaimanapun memuji keputusan itu dalam ciapan di Twitter.
“Perbicaraan tergempar akan diadakan tidak lama lagi. Kita akan memberi kenyataan di mahkamah untuk menghentikan salah guna kuasa Biden yang tidak berperlembagaan,” katanya.
Mandat vaksin mempunyai sejarah panjang di AS, tetapi secara amnya sudah dikeluarkan oleh bandar atau negeri. Isu yang menjadi pertikaian ialah keperlembagaan seorang presiden AS mengeluarkan mandat begitu meluas di seluruh negara.
Peguam negeri Texas Ken Paxton antara yang memfailkan saman untuk menghalang mandat Biden, di CNN semalam, berkata presiden sudah melangkaui kuasanya.
“Perjuangan belum berakhir dan saya tidak akan berhenti menentang tindakan melampaui perlembagaan oleh pentadbiran ini!” kata Paxton di Twitter. – AFP, 7 November, 2021.
Komen