AMERIKA Syarikat (AS) pada Sabtu mengutuk serangan dron ke atas kediaman Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi, yang disifatkannya sebagai “tindakan keganasan yang jelas”.
“Kami berasa lega apabila mengetahui perdana menteri tidak cedera. Tindakan keganasan yang jelas ini, yang kami kutuk sekeras-kerasnya, disasarkan di pusat negara Iraq,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price.
“Kami berhubung rapat dengan pasukan keselamatan Iraq yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan Iraq dan menawarkan bantuan kami ketika mereka menyiasat serangan ini,” tambahnya.
Khademi yang menyeru supaya semua pihak bertenang selepas serangan di atas kediamannya yang terletak di Zon Hijau Baghdad, berkata beliau tidak cedera.
Pejabatnya menyifatkan serangan itu sebagai “cubaan bunuh yang gagal.”
Dua sumber keselamatan sebelum ini mengesahkan serangan di Zon Hijau yang dikawal ketat, turut menempatkan kedutaan AS dan sering menjadi sasaran serangan roket.
Sebilangan besar pasukan keselamatan dikerahkan di dalam dan sekitar Zon berikutan serangan itu, menurut sumber keselamatan.
Serangan itu berlaku ketika ketegangan politik yang memuncak berhubung keputusan pilihan raya 10 Oktober.
Keputusan awal tinjauan itu menyaksikan Perikatan Fatah, cabang politik rangkaian separa tentera Hashed al-Shaabi berbilang parti pro-Iran, menyaksikan kekalahan bilangan kerusi Parlimen yang ketara. Penyokong kumpulan itu mengecam keputusan itu dan menyifatkannya sebagai “penipuan.” – AFP, 7 November, 2021.
Komen