AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu berkecil hati dengan segala tindakan yang diambil oleh pihak Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti politik sempena Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) yang akan datang, atau pilihan raya seterusnya.
Parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang beliau asaskan bukan sebahagian daripada PH atau mana-mana gabungan.
Oleh itu, tidak perlu ada perasaan kecil hati terhadap sebarang perkara yang ingin dilakukan oleh PH atau mana-mana parti politik.
Media melaporkan beliau, yang juga salah seorang pengasas Muda seakan-akan berkecil hati dengan PH yang kelihatan cenderung untuk berunding dengan ahli politik lama dan senior yang lain berbanding dengan beliau yang banyak mempertahankan prinsip PH selama ini.
Apa yang ingin dilakukan oleh PH adalah hak mutlak PH. Syed Saddiq dan partinya pula bebas untuk melakukan sebarang perkara bagi menegakkan prinsip perjuangan yang mereka perjuangkan.
Syed Saddiq dan rakan-rakan seperjuangan beliau dalam Muda boleh mengambil peluang keemasan ini untuk mencorak semula landskap politik Malaysia dengan bergerak sendiri.
Dengan bergerak sendiri, rakyat Malaysia akan memiliki lebih banyak pilihan kelak apabila ia berkaitan dengan isu politik.
Walaupun masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran, ucapan tahniah harus juga diberikan kepada Syed Saddiq atas usahanya menubuhkan sebuah parti politik baru.
Parti politik baru yang dibuka untuk semua kaum dan agama ini akan menjadi tambahan kepada parti-parti politik sedia ada.
Apa yang menariknya, parti politik yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini merupakan sebuah parti politik pertama dalam sejarah negara yang bakal memberi banyak tumpuan kepada nasib golongan belia.
Walaupun tumpuan parti politik baru ini banyak diberikan terhadap nasib golongan belia, ia juga dilihat memberi fokus perjuangannya untuk membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira had usia.
Ramai pihak khususnya dalam kalangan ahli politik mengeluarkan kenyataan terhadap kemunculan parti politik terbaru ini.
Ada yang akan memberi sokongan dan kata-kata semangat, dan ada yang mengeluarkan kata-kata ejekan serta yang akan melemahkan semangat.
Walau apa pun pandangan mereka terhadap kemunculan parti politik baru ini, peluang dan ruang yang secukupnya harus diberikan kepada Syed Saddiq serta golongan belia yang telah mengambil langkah berani untuk melibatkan diri mereka dengan arena politik dalam negara kita.
Rata-rata ramai pihak sudah muak dengan parti-parti politik sedia ada. Mereka malah turut muak dengan perangai dan kerenah ahli-ahli politik sedia ada yang majoritinya terdiri daripada generasi lama.
Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia hanya dihidangkan dengan pilihan parti-parti politik yang sudah lama ditubuh yang diterajui oleh golongan lama.
Golongan lama ini dilihat gagal memahami keadaan dunia moden serta kehendak sebenar rakyat khususnya golongan belia yang inginkan pembaharuan drastik.
Ramai pihak juga sudah mula muak dengan keadaan dan drama politik semasa yang berlaku.
Persoalan yang sering ditanyakan oleh ramai pihak, sampai bilakah Malaysia harus menerima kewujudan parti politik dan ahli politik lama?
Kemuakan ramai pihak ini boleh menjadi faktor penentu kepada kejayaan dan kemenangan parti politik yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini pada masa akan datang.
Walaupun parti Syed Saddiq ini akan memberi fokus kepada golongan belia, namun kemuakan terhadap parti politik serta ahli politik sedia ada akan memaksa semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia untuk memberi sokongan padu mereka terhadap parti politik baru ini, serta terhadap Syed Saddiq sendiri. – 7 November, 2021.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Komen