POLIS Mallorca menahan 12 penumpang dan memburu 12 lagi yang melarikan diri dari pesawat yang melakukan pendaratan cemas, dikaitkan dengan pendatang haram.
Dalam insiden yang kali pertama berlaku itu, pesawat Air Arabia Maroc Airbus A320 sedang dalam perjalanan antara Casablanca dan Istanbul terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Palma de Mallorca, antara lapangan terbang paling sibuk di Sepanyol berikutan seorang penumpang dilihat dalam keadaan sakit.
Wakil Kerajaan Sepanyol di Kepulauan Balearic Aina Calvo pada sidang media berkata 12 penumpang sudah ditahan dan 12 lagi masih belum ditemui.
“Kejadian sedemikian tidak pernah berlaku di mana-mana lapangan terbang di Sepanyol, sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, polis dalam kenyataan berkata seorang penumpang dilihat dalam keadaan koma akibat diabetis dan dibawa ke hospital dengan ambulans bersama seorang rakannya, tetapi didapati dalam keadaan baik dan dibenarkan discaj.
“Dia bagaimanapun ditahan kerana disyaki menggalakkan pendatang haram dan melanggar undang-undang imigresen Sepanyol, selain rakan suspek melarikan diri,” katanya.
Calvo berkata ketika pemindahan itu, 21 lagi penumpang keluar dari pesawat dan berlari ke landasan, menyebabkan pemeriksaan besar-besaran polis yang memaksa penutupan lapangan terbang hingga hampir tengah malam.
Katanya, seorang lagi ditahan kerana “menghina” di dalam pesawat, menjadikan keseluruhan terbabit dalam insiden itu seramai 24 orang, kebanyakannya warga Maghribi kecuali seorang dipercayai rakyat Palestin.
Beliau berkata penyiasat sedang meneliti sama ada kejadian di lapangan terbang itu dirancang atau kes terpencil. – AFP, 7 November, 2021.
Komen