98 maut, lori tangki meletup di Sierra Leone


Anggota bomba berusaha memadamkan api dalam insiden letupan tangki bahan api di pusat bandar Sierra Leone, Freetown. – Gambar AFP, 7 November, 2021.

SERAMAI 98 maut dalam insiden letupan tangki bahan api di pusat bandar Sierra Leone, Freetown, kata agensi pengurusan bencana negara Afrika Barat itu.

Menurut saksi, letupan itu berlaku apabila lori tangki bahan api bertembung dengan sebuah trak di stesen minyak, pada malam Jumaat lalu.

Api kemudian merebak, membakar orang di dalam kereta dan di jalan raya berhampiran.

Aukarelawan, Jusu Jacka Yorma yang berada di tempat kejadian berkata majoriti mangsa peniaga jalanan dan penunggang motosikal, kebanyakannya terperangkap ketika cuba mengambil bahan api yang bocor dari lori tangki, sebelum api menyala.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, 98 kematian direkodkan setakat ini dan 92 mangsa terselamat kini dirawat di pelbagai hospital di Freetown.

Naib Presiden Mohamed Juldeh Jalloh yang melawat tempat kejadian berkata 98 kematian dilaporkan, sementara semua yang cedera akan menerima rawatan percuma.

Jururawat berkata ramai wanita, lelaki dan kanak-kanak mengalami kecederaan serius.

Operasi menyelamat diteruskan di bawah pengawasan polis, semalam.

Ratusan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian mencari waris yang hilang di bawah pengawasan pasukan keselamatan, kata wartawan.

Rakaman video menunjukkan sebuah lori tangki terbakar, sebuah trak dan kawasan sekitar dipenuhi rangka kenderaan dengan sebahagiannya masih terbakar. – AFP, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen