Polis Melaka nafi tutup sempadan negeri sempena PRN


POLIS Melaka menafikan akan menutup sempadan negeri selama 15 hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti ditularkan menerusi media sosial.

Ketua Polis negeri Abdul Majid Mohd Ali berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang tular sejak petang tadi adalah palsu dengan disunting daripada SOP PRN Sabah sebelum ini dan perkara itu kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Melaka masih menunggu SOP berkaitan PRN Melaka daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan penularan maklumat tidak sah di media sosial dan diminta menghubungi bilik gerakan polis Melaka jika memerlukan penjelasan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Kenyataan yang tular itu antaranya turut menyatakan penutupan sempadan negeri Melaka dalam tempoh 15 hari bermula sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari mengundi pada 20 November termasuk sekatan jalan raya diaktifkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali. – Bernama, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen