PDRM cadang wartakan Melaka zon larangan dron sepanjang PRN


Dron dibimbangi digunakan bagi tujuan tidak baik ketika PRN Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bercadang mewartakan Melaka sebagai zon larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjamin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali berkata, cadangan itu yang masih di peringkat perbincangan dengan pihak Peguam Negara dijangka dimuktamadkan Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan dron bagi parti politik di negeri itu sepanjang PRN Melaka akan dibenarkan dengan syarat ketat antaranya mendapatkan permit daripada pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Bagi saya dron adalah satu ancamam, ia boleh digunakan untuk tujuan baik dan buruk termasuk mewujudkan ancaman dan provokasi. Dron boleh digunakan untuk membawa senjata, gas beracun, cecair yang menyebabkan melecur dan bom.

“Dron juga mungkin digunakan untuk melakukan ‘pendaratan kecemasan’ terhadap kumpulan tertentu yang mungkin (disebabkan) rasa tidak puas hati dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup kursus Light Strike Force (LSF) di ibu pejabat polis Kontinjen Melaka di Melaka, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 17 sekatan jalan raya akan dilaksanakan di Melaka termasuk di pintu masuk negeri itu dan laluan tikus sepanjang PRN bagi memastikan tiada pergerakan individu tidak berkenaan masuk ke negeri itu.

“Kita akan memeriksa sijil vaksinasi individu yang masuk ke Melaka dan jika mereka balik mengundi, kita akan periksa sama ada dia merupakan pengundi yang berdaftar di sini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, 17 pasukan LSF membabitkan 159 pegawai dan anggota, 84 anggota Unit Pencegah Rusuhan (PORU) dan 128 anggota pasukan simpanan persekutuan bersiap sedia menjaga keamanan negeri itu sepanjang tempoh PRN Melaka. – Bernama, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen