Pertemuan terakhir Nagaenthran dan ibu di Singapura


Elill Easwaran

Gambar kenangan Nagaenthran K Dharmalingam bersama kakaknya Sharmila (kanan) dan dua sepupu mereka.– Gambar ihsan keluarga Nagaenthran, 7 November, 2021.

IBU kepada Nagaenthran K Dharmalingam, warga Malaysia yang akan dihukum gantung pada 10 November ini di Singapura atas kesalahan menyeludup dadah, kini berada di republik itu untuk melawat anaknya buat kali terakhir.

Panchalai Supermaniam, 59, tiba di Singapura dua hari lalu, keluarganya memaklumkan kepada The Malaysian Insight.

Kakak sulung Nagaenthran, Sharmila Dharmalingam, berkata ibunya dibenarkan berulang-alik dari hotel ke penjara tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Menurut Sharmila, ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci tidak menyambut Deepavali bersama keluarga mereka di sini kerana mahu menemui Nagaenthran buat kali terakhir.

Wanita 35 tahun itu berkata mereka sekeluarga dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada 26 Oktober lalu bahawa pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran akan diteruskan pada 10 November.

“Mulanya kami rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan emak. Tiga hari lepas barulah kami beritahu.

“Itupun sebab adik saya Nagaenthran mahu berjumpa dengan emak buat kali terakhir,” katanya.

Suri rumah itu berkata beliau tidak dapat menemani Panchalai ke Singapura kerana terpaksa menjaga tiga anaknya di Ipoh. Ibunya ditemani seorang sepupu, ujarnya.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72g. Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Proses rayuan melalui mahkamah telahpun dibuat sehingga ke peringkat akhir melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency) namun ditolak pada 1 Jun tahun lalu.

Nagaenthran K Dharmalingam ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72g. – Gambar ihsan keluarga Nagaenthran, 7 November, 2021.

Nagaenthran disahkan mengalami Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif  (ADHD) dan kecerdasan intelek (IQ) 69, lebih rendah daripada IQ purata manusia biasa antara 85-115.

Rabu lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam kenyataan berkata  Wisma Putra akan terus memantau perkembangan kes Nagaenthran dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Saifuddin berkata beliau juga telah mengutus surat kepada menteri luar Singapura berkenaan kes itu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Harm Reduction International (HRI), Rangkaian Antarabangsa Pengguna Dadah (INPUD) dan Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa (IDPC) bersama 27 pertubuhan dan rangkaian lain turut menggesa Singapura meringankan hukuman ke atas Nagaenthran kepada penjara seumur hidup.

Mereka berkata ia perlu dilihat sebagai langkah pertama memansuhkan hukuman mati dan ke arah dasar dadah yang mengutamakan kesihatan dan hak asasi manusia.

Majlis Peguam Malaysia juga pada Selasa lalu menghantar memorandum rayuan kepada Presiden Singapura Halimah Yaacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk meringankan hukuman mati ke atas Nagaenthran.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Nagaenthran, Sharmila berkata selepas tamat persekolahan adiknya itu berhijrah ke Johor untuk bekerja sebagai tukang kimpal. Di sana jugalah Nagaenthran terlibat dengan dadah kerana pengaruh kawan, katanya.

“Pada 2007, dia dapat kerja di Singapura sebagai pengawal keselamatan tetapi selalu berulang-alik ke Johor untuk jumpa kawan-kawan.”

Di akhir bicara, Sharmila berkata keluarganya masih menaruh harapan Singapura akan meringankan hukuman adiknya.

“Kami tahu dah tak berapa lama saja lagi tetapi kami masih berharap,” ujarnya.

NGO Transformative Justice Collective yang berpangkalan di Singapura mengadakan kempen mengutip derma untuk menampung perbelanjaan keluarga Nagaenthran ke republik itu, untuk melihatnya buat kali terakhir.

Kempen itu berjaya mengutip hampir dua kali ganda daripada S$18,000 (RM55,442) yang disasarkan.

Wang kutipan itu digunakan untuk menguruskan dokumen, membiayai tiket penerbangan, penginapan, makan, pengangkutan dan ujian RT-PCR untuk empat ahli keluarga Nagaenthran termasuk ibunya Panchalai serta kos pengkebumian Nagaenthran. – 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen