KESERONOKAN 26 individu termasuk remaja bawah umur yang sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat dalam parti liar terbantut apabila unit kondominium mewah yang disewa mereka di George Town, Pulau Pinang diserbu polis awal pagi hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Ra’ais berkata, sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menyerbu unit kondominium mewah itu pada jam 1.30 pagi, hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada 15 lelaki dan 11 perempuan yang semuanya berusia 13 hingga 21 tahun sedang berpesta di unit kondominium yang disewa dengan harga RM500 semalam untuk berhibur di situ.
“Siasatan mendapati semua mereka yang terdiri daripada rakan-rakan itu menyewa kondominum menerusi laman sosial dan wang sewaan dibayar dengan harga RM30 seorang bagi perempuan manakala RM50 seorang bagi lelaki untuk tujuan mengadakan parti liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas pelbagai peralatan sistem audio yang diubah suai seperti digunakan pusat hiburan dan semua suspek kini ditahan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya dan Peraturan 17(1) Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021. – Bernama, 6 November, 2021.
Komen