Lelaki dipercayai along maut ditetak


SEORANG lelaki dipercayai along maut ditetak di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang, dekat Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 12.34 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 47 tahun datang ke kopitiam itu pada jam 11.50 malam bersama dua anaknya yang berumur 10 dan 18 tahun.

“Ketika hendak membuka pintu kereta selepas selesai makan, mangsa dipercayai didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang dengan dua daripadanya menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melarikan diri ke arah celah kereta yang di parkir di kawasan itu sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Shamsul Amar, ketiga-tiga suspek pula melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu mereka di tepi jalan menghala keluar ke arah Persiaran Batu Nilam, Klang.

Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan semua suspek sedang diteruskan, katanya. – Bernama, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen