Polis tahan 46 termasuk suami isteri disyaki terbabit dadah


POLIS menahan 46 individu termasuk sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dengan kes berkaitan dadah dalam Ops Sarang Khas di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang berumur 30 hingga 70 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula jam 1 tengah hari tadi, khusus bagi membanteras penagih dadah tegar selain membasmi tempat penagihan di kawasan PPR.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi ujian saringan air kencing.

Sementara itu Ayob Khan berkata, polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai membuat kenyataan berbaur perkauman yang boleh mendatangkan kegusaran dan menggugat keamanan awam menerusi platform media sosial Tik Tok, semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Jalan Bakri, dekat Muar pada jam 7.30 malam oleh anggota polis dari IPD Muar.

“Pada 5 November lalu tular satu video di media sosial mengenai kenyataan suspek berkaitan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali yang boleh mendatangkan kegusaran serta menggugat keamanan awam. Hasil siasatan juga mendapati permit suspek tamat tempoh dan dia tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Ayob Khan berkata, lelaki itu direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen