Idris Haron tanding DUN Asahan, kata Anwar


Noel Achariam

Idris diterima sebagai ahli PKR, kata Anwar. – Gambar Facebook, 6 November, 2021.

BEKAS Ketua Menteri Melaka Idris Haron akan bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Bekas pemimpin Umno itu diberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di bawah Parlimen Alor Gajah.

Beliau seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri selepas menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Umno.

Pengerusi PH Anwar berkata, terdapat kritikan daripada pemimpin politik yang mempersoalkan mengenai Adun yang berpaling tadah.

“Kami bertanding sebagai satu pasukan. Ini tidak berlaku dengan parti yang berada dalam kerajaan. Jika kita mahu kestabilan politik, ia hanya boleh ditawarkan oleh PH.

“Ini adalah rundingan PH Melaka dengan mereka (bekas Adun) yang datang kerana berasakan kerajaan pimpinan Umno Melaka tidak betul,” katanya pada sidang media.

Beliau turut mengumumkan bekas Adun Umno, Nor Azman Hassan akan bertanding di DUN Pantai Kundor.

Presiden PKR itu turut berkata, Idris dan Nor Azman masing-masing sudah diterima sebagai ahli PKR dan Amanah.

Beliau berkata, bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dari Amanah akan mengetuai cabaran PH dalam PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, calon bagi jawatan ketua menteri masaih belum diputuskan.

Pemberian kerusi terhadap Idris dan Nor Azman menyebabkan Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) tidak menyertai PRN Melaka selepas tidak dapat mencapai persefahaman dengan PH.

Pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas pemimpin PH berkeras untuk memberikan dua kerusi kepada bekas wakil rakyat Umno dalam pilihan raya.

“Ada isyarat positif pada awal rundingan kami tetapi malangnya pemimpin PH tidak sabar untuk membenarkan beberapa pembelot Umno yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka bertanding di bawah panji mereka.

“Muda menentang PH menerima katak politik ini kerana bagi kami, integriti menjadi keutamaan termasuk pembahagian kerusi.

“Oleh itu, Muda memilih untuk tidak meneruskan rundingan dan tidak menyertai PRN Melaka,” katanya.
 
Pada 5 Oktober, empat Adun mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri diketuai Sulaiman Md Ali, yang menyaksikan pembubaran DUN sekali gus membuka laluan untuk mengadakan pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 20 November.

Empat Adun itu adalah Idris (Sungai Udang), Nor Azman (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu). – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen