Pesawat mendarat cemas di Sepanyol, penumpang larikan diri


Palma de Mallorca antara lapangan terbang paling sibuk di Sepanyol. – Gambar EPA, 6 November, 2021.

PALMA de Mallorca, antara lapangan terbang paling sibuk di Sepanyol, terpaksa ditutup selama empat jam ekoran beberapa penumpang pesawat yang membuat pendaratan cemas melarikan diri semalam, kata pihak berkuasa.

Pasukan polis Civil Guard berkata pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Maghribi ke Turki tetapi terpaksa mengubah haluan ke pulau Mallorca selepas seorang penumpang mengadu mengalami masalah kesihatan.

Kesempatan itu diambil 20 penumpang yang bertindak melarikan diri ketika pesawat berada di atas landasan, katanya kepada AFP. Dua penumpang yang lari itu berjaya ditangkap.

Sementara itu, akhbar El Pais melaporkan penyiasat tidak menolak kemungkinan insiden kecemasan itu sengaja diada-adakan supaya penumpang yang melarikan diri itu dapat masuk ke Sepanyol secara haram.

Laporan menyebut penumpang yang mengadu mengalami masalah kesihatan itu bagaimanapun telah disahkan sihat dan ditahan kerana bersubahat. Seorang penumpang lain yang menemaninya menghilangkan diri, dan setakat ini seramai lima individu berjaya ditangkap.

Menurut laman penjejak penerbangan FlightRadar24 pula, pesawat yang mendarat cemas itu adalah Air Arabia Maroc Airbus A320, yang sedang dalam perjalanan antara Casablanca dan Istanbul.

Gara-gara insiden itu, sebanyak 13 pesawat yang dijadual mendarat di Palma de Mallorca terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala 16 lagi penerbangan ditangguhkan.

Palma de Mallorca dibuka semula sekitar tengah malam tadi. – AFP, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen