PENGGAMBARAN filem “Black Panther” keluaran Marvel ditangguhkan selepas bintangnya, Letitia Wright belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami pada Ogos, kata portal hiburan pada Jumaat.
Wright memainkan watak Shuri dalam filem pertama “Black Panther” ditayangkan pada 2018, yang mengisahkan sebuah negara Afrika maju teknologi tetapi tersembunyi dari dunia luar.
Filem itu dibintangi majoriti pelakon kulit hitam mendapat sambutan hebat mengutip AS$1.3 bilion di seluruh dunia dan dicalonkan sebagai filem terbaik Oscar.
Wright cedera ketika merakamkan adegan lasak di Boston pada hujung Ogos lepas.
Ketika itu, beliau dijangka pulih dalam masa terdekat tanpa menganggu jadual penggambaran, lapor Variety dan Hollywood Insider.
Butiran kejadian dan kecederaan dialaminya tidak didedahkan tetapi disifatkan sebagai “kecederaan kecil”.
“Letitia sedang berehat di London sejak September disebabkan kecederaan dialami di set penggambaran ‘Black Panther 2’ dan berharap dapat kembali bekerja pada awal 2022,” kata pengurus pelakon keturunan Guyana-British itu dalam satu kenyataan.
“Letitia meminta semua pihak mendoakannya.”
Watak lakonan Wright dijangka memainkan peranan lebih utama dalam filem kedua selepas pelakon utamanya, Chadwick Boseman yang memainkan watak Black Panther meninggal dunia tahun lepas kerana penyakit barah.
Filem kedua bertajuk “Black Panther: Wakanda Forever” akan ditayangkan pada 11 November 2022.
Penangguhan penggambaran dilaporkan tidak akan menjejaskan tarikh tayangan, menurut pengarahnya Ryan Coogler. – AFP, 6 November, 2021.
Komen