SEORANG pegawai perisikan China disabit bersalah oleh mahkamah persekutuan AS pada Jumaat atas pertuduhan pengintipan ekonomi yang didakwa disokong penguasa dalam cubaan mencuri rahsia teknologi syarikat aero angkasa AS dan Perancis, kata Jabatan Kehakiman.
Xu Yanjun, pegawai di pejabat perisikan luar wilayah Jiangsu di bawah Kementerian Keselamatan Negara, disabit bersalah di mahkamah Cincinnati atas dua pertuduhan bersubahat dan cubaan melakukan pengintipan ekonomi serta tiga pertuduhan berkaitan rompakan rahsia dagangan.
Pertuduhan pengintipan ekonomi membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga AS$5 juta, pertuduhan lain membawa hukuman 10 tahun penjara setiap satu.
Xu adalah salah seorang daripada 11 warga China, termasuk dua pegawai perisikan yang dinamakan dalam pertuduhan dikeluarkan pada Oktober 2018 kerana terlibat dalam rancangan selama lima tahun untuk mencuri rahsia teknologi dari GE Aviation, salah sebuah peneraju teknologi enjin pesawat di dunia dan Kumpulan Safran dari Perancis yang bekerjasama dengan GE untuk kajian dan pembangunan teknologi.
Dia ditahan pada April 2018 di Belgium, selepas dijerat dalam operasi anti risikan, ketika itu dia merancang perjalanan sulit untuk berjumpa seorang pekerja GE.
Dia diekstradisi ke AS pada Oktober 2018 untuk berdepan pendakwaan.
Pertuduhan pada 2018 menamakan 10 suspek terlibat dalam rancangan sulit itu termasuk dua pegawai perisikan Jiangsui yang bekerja di bawah Xu, enam orang penggodam dan dua pekerja syarikat Perancis.
Bagaimanapun, kesemua mereka selain Xu belum ditahan.
Pertuduhan memberi maklumat terperinci tentang usaha menggodam komputer dan memindahkan data sulit berkaitan enjin dan teknologi GE dan Kumpulan Safran.
Jabatan Kehakiman berkata ketika itu syarikat aeroangkasa milik China dalam usaha membangunkan enjin seperti GE untuk kegunaan pesawat buatan China.
Selepas Xu ditangkap, China berkata AS “mereka-reka cerita”. – AFP, 6 November, 2021.
Komen