BAGI sesetengah orang, masuk penjara adalah peluang mengecap kebebasan.
Seorang lelaki yang berada dalam tahanan rumah di Itali menyerah diri di balai polis dan meminta dipenjarakan kerana tidak tahan hidup dengan isterinya, kata polis.
Lelaki berusia 30an warga Albania itu tinggal di Guidonia Montecelio, pinggir Rome, “tidak lagi tahan dipaksa hidup bersama dengan isterinta,” kata polis Carabinieri berhampiran Tivoli dalam satu kenyataan.
“Terdesak dengan situasi itu, dia lebih rela melarikan diri, kemudian dengan serta merta menyerah diri di Carabinieri meminta memenuhi hukuman di penjara,” kata polis.
Lelaki itu diletakkan dalam tahanan rumah kerana jenayah dadah sejak beberapa bulan lepas dan hukumannya masih berbaki beberapa tahun, kata Kapten Francesco Giacomo Ferrante kepada AFP.
“Dia tinggal di rumah bersama isteri dan keluarganya. Situasi tidak berapa baik,” kata Ferrante.
“Dia kata, ‘Dengar sini, hidup rumah tangga saya macam neraka, saya tak tahan dah, saya mahu masuk penjara.”
Lelaki itu ditahan kerana melanggar arahan tahanan di rumah dan pihak kehakiman mengarahkannya dipindah ke penjara. – AFP, 6 November, 2021.
Komen