PEMEGANG saham Boeing mencapai penyelesaian luar mahkamah bernilai AS$237.5 juta dengan bekas pengarah dan pengarah pengeluar kapal terbang AS itu dalam kes kecuaian keselamatan pesawat 737 MAX, menurut dokumen dikeluarkan pada Jumaat.
Pemegang kepentingan menuduh lembaga pengarah dan beberapa eksekutif Boeing, serta CEO sekarang David Calhoun, gagal memastikan alat kawalan dan maklumat di dalam 737 MAX berfungsi dengan berkesan.
Di bawah perjanjian itu, yang masih perlu disahkan hakim, AS$237.5 juta pampasan akan dibayar oleh perkhidmatan insurans dan bukannya lembaga pengarah dan eksekutif syarikat itu.
Boeing juga bersetuju mengupah pengantara untuk menyelesaikan masalah dalaman syarikat dan melantik wakil dengan pengalaman keselamatan penerbangan dalam lembaga pengarah.
Perjanjian itu tidak memerlukan Boeing untuk mengakui wujudnya kecuaian bagi pihak yang disaman dalam kes itu.
Pesawat 737 MAX terlibat dalam dua tragedi- sat ukes melibatkan Lion Air pada Oktober 2018 dan satu lagi kes melibatkan pesawat Ethiopian Airlines pada Mac 2019- membunuh 346 orang. Siasatan mendapati kemalangan disebabkan sistem pencegahan hempasan (MCAS).
Berdasarkan dokumen dalaman, pemegang saham berkata prosedur keselamatan yang wajar tidak dibuat ke atas 737 MAX selepas tragedi 2018, walaupun laporan media melaporkan ia berkaitan dengan MCAS.
Mula dibangunkan pada 2011 dan dilancarkan pada 2017, 737 MAX diharamkan daripada terbang pada Mac 2019, sebelum diisytiharkan selamat sekali lagi pada November 2020.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam, Boeing berkata “ia sudah mengambil langkah signifikan untuk melaksana dan mengukuhkan komitmen kami kepada keselamatan penerbangan” sejak dua tragedi udara melibatkan pesawat keluarannya. – AFP, 6 November, 2021.
Komen