Ramai yang akan kata isu stateless sebagai isu sensitif di Sabah. Adakah benar ia isu sensitif? Atau politikus yang membuatkan ia menjadi isu yang sensitif?
-2.jpg)
Penulis pernah turun ke lapangan membuat kajian tentang politik di Kimanis; penduduk di sana kebanyakannya tiada masalah dengan masyarakat stateless seperti yang diuar-uarkan di media sosial.
Jika benarpun isu ini sensitif, adakah bermaksud kita harus berhenti dari membicarakannya?
Apabila membicarakan tentang stateless, hal utama yang menjadi titik mula perbincangan sebenarnya persoalan hak asasi manusia bagi kelompok ini.
Setelah negara dunia ketiga “semput” dihisap dan disedut negara imperialis Barat, mereka (Barat) masih lagi tidak mahu kita (negara ketiga) untuk bersatu dibawah satu payung. Apa yang imperialis Barat lakukan?
Ya, mereka laksanakan dasar “pecah dan perintah” namun dalam bentuk negara. Di sini negara ketiga semakin lemah kerana telah dipisahkan dari segi kebudayaan akibat dari persaingan yang tak jelas matlamatnya dalam aspek identiti nasional.
Negara yang mempunyai tanah yang hampir dan pernah berkongsi lautan telah dipisahkan.
Manusia yang dulunya sangat mudah untuk berhijrah kesana dan kemari kini tidak lagi mampu melakukan demikian atas sebab undang-undang yang diciptakan seolah-olah benar.
Kendati, pada hakikatnya ia telah melanggar hak semulajadi kita sebagai manusia.
Akibat daripada persempadanan yang bertujuan untuk memisahkan inilah, maka wujud isu stateless yang saban tahun akan bertambah jumlahnya.
Sabah sebagai sebuah negeri yang amat dekat dengan sempadan negara Indonesia dan Filipina menjadi “mangsa” kepada dasar jahat imperialis Barat.
Politikus yang oportunis pula menggunakan isu stateless sebagai modal politik bagi mendapatkan sokongan dan sebaliknya, yakni membuang sokongan orang awam terhadap parti lawan.
Apabila kita katakan bahawa mereka ini kelompok stateless, kita sebenarnya sedang mengatakan bahawa mereka tidak diiktiraf oleh mana-mana negara, termasuk Malaysia. Hidup mereka tidak tercatat pada dokumen yang berlegalisasi di mana-mana negara pun.
Di Malaysia, hidup kelompok sebegini amat parah kerana hak asas kanak-kanak stateless dinafikan oleh Akta Pendidikan 1996.
Hanya warganegara yang memegang dokumen yang sah sahaja diberikan ruang dan peluang untuk berpendidikan. Ini suatu pelanggaran hak asasi manusia yang nyata lagi jelas.
Sebagai sebahagian dari aktivis Borneo Komrad, penulis telah beberapa kali terlibat dalam perbincangan mengenai masyarakat stateless di Sabah.
Jujur, ramai dari sosok-sosok besar yang mempunyai gelar kehormat akan memilih untuk mengelak menjawab persoalan yang cuba penulis rungkai dan sampaikan.
Politikus pula memilih untuk menjadikan isu ini sebagai asas kepada semangat perkauman yang sempit mereka. Penulis sering memberi jawapan sinis bertujuan untuk membalas ketidakjujuran mereka dengan mengatakan,
“Kita tak memilih untuk lahir dari rahim siapa, dan mereka (anak-anak stateless) dilahirkan dari rahim ibu yang mempunyai masalah dokumentasi.”
Cicir pendidikan memberikan dampak yang amat besar buat masyarakat stateless dan kita sendiri sebagai warganegara.
Di dunia yang amat mengambil kira khazanah intelek dan fikiran, sesiapa yang tidak beruntung dan tercicir dari segi pendidikan akan mempunyai masalah untuk mendapatkan ruang dan peluang berekonomi.
Sementelahan, masyarakat stateless berhadapan dengan masalah dokumentasi, maka mereka adalah kelompok yang paling terkesan.
Dampaknya telah membawa mereka jatuh ke lembah kehinaan, hak mereka dinafikan total dan banyak peristiwa mati kebuluran berlaku akibat hak mereka dalam banyak lapangan dinafikan.
Oleh itu, paling asas buat masyarakat ini adalah untuk memberikan ruang mereka berpendidikan. Setelah itu, harus difikirkan langkah untuk mendokumentasikan mereka.
Mahu ataupun tidak, jika kita tidak mendokumentasikan mereka, masalah lambakan masyarakat yang dikatakan stateless ini pasti akan bertambah.
Banyak faktor yang mempengaruhi pertambahan mereka, sama ada semulajadi atau penghijrahan yang tak kita sedari.
Demi memastikan negeri Sabah terus membangun dengan baik, masyarakat Sabah harus berfikir progresif dan melihat kemungkinan di hadapan.
Pilih – pisah atau berpadu dengan masyarakat stateless ini? – 6 November, 2021.
* Izzat Dahelan adalah aktivis Borneo Komrad
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen