Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat


Tentera Israel semasa pertempuran dengan penunjuk perasaan yang membaling batu di tengah-tengah bandar Hebron, Tebing Barat semalam. – Gambar EPA, 6 November, 2021.

SEORANG remaja Palestin berusia 13 tahun maut selepas ditembak oleh tentera Israel semalam di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin

Mereka berkata, Mohammed Daadas meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah apabila ditembak di perut semasa pertempuran antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera Israel di Kampung Deir al-Hatab, timur Nablus.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang ulasan mengenai laporan itu.

Dua lagi rakyat Palestin cedera semalam dalam pertempuran di Beita, sebuah lagi perkampungan Tebing Barat di mana penduduk tempatan bergelut selama berbulan-bulan untuk menghalau peneroka Israel dan tentera dari puncak bukit.

Pertempuran berlaku beberapa hari selepas Israel mengumumkan akan membuat rancangan untuk 3,000 lagi rumah kepada peneroka Yahudi di Tebing Barat walaupun mendapat kritikan antarabangsa.

Israel juga sudah membuat rancangan awal untuk membina kira-kira 1,300 rumah untuk rakyat Palestin di Tebing Barat tetapi pengkritik melihat langkah itu sebagai percubaan untuk menangkis kecaman global terhadap pembinaan penempatan.

Rakyat Palestin memandang Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara masa depan manakala warga Israel yang tegar termasuk Perdana Menteri Naftali Bennet berkata ia adalah nadi sejarah Yahudi.

Israel merampas Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dalam perang Timur Tengah 1967.

Beratus-ratus ribu rakyat Israel berpindah ke penempatan yang kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai haram.

Bennett menolak rundingan damai rasmi dengan Pihak Berkuasa Palestin berkata beliau lebih suka memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi. – Bernama, 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen