Kerajaan perlu rujuk kami untuk rangka SOP, kata pemilik kelab malam


Raevathi Supramaniam

Kelab malam sering disalah ertikan sebagai tempat perniagaan haram berlaku, sedangkan pada hakikatnya ia adalah sektor yang menggaji sejumlah besar pekerja dan menyumbang kepada ekonomi, kata pemilik perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

PUTRAJAYA mesti berhubung dengan pengendali kelab malam untuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan sektor hiburan dibuka semula, kata pemilik perniagaan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight walaupun tidak menjangkakan operasi akan dibuka serta-merta, sekurang-kurangnya mereka mahu perbincangan dibuat. 

Menurut mereka kelab malam sering disalah ertikan sebagai tempat perniagaan haram berlaku, sedangkan pada hakikatnya ia adalah sektor yang menggaji sejumlah besar pekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

“Orang ramai dan kerajaan berpendapat kelab malam adalah tempat gadis-gadis berpeleseran.

“Kelab malam adalah pusat hiburan, ia adalah kelab menari,” kata Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim kepada The Malaysian Insight.

Pemilik kelab malam sedang menanti untuk membuka semula operasi perniagaan mereka selepas 19 bulan ditutup apabila Kuala Lumpur beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 18 Oktober.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimanapun meletakkan kedai hiburan dan pub dalam senarai negatif, melarang mereka dari meneruskan perniagaan.

Lim berkata, mengikut anggaran persatuan itu kira-kira 40% daripada pemegang lesen hiburan sudah bertukar kepada restoran bagi menyara kehidupan mereka.

Ketika ditanya berapa ramai pemegang lesen hiburan di sana, Lim berkata dia tidak pasti bilangan kedai yang ada kerana mereka tidak dapat mengetahui perniagaan mana yang sedang ditutup sementara atau ditutup selamanya.

“Seluruh TREC (zon hiburan yang ditetapkan) adalah ahli kami dan menyumbang kepada 60% hingga 70% daripada kehidupan malam di KL.

“Banyak yang sudah ditutup atau sedang ditutup sementara, sukar untuk mengetahui berapa banyak yang tinggal.

“Penutupan sektor itu menjejaskan kira-kira 250,000 pekerja langsung dan tidak langsung,” katanya.

Lim, yang juga memiliki kelab malam DragonFly berkata keraguan dia pihak kerajaan berkemungkinan besar berpunca dari fakta mereka tidak arif tentang cara industri itu beroperasi.

Oleh itu katanya adalah amat penting kerajaan menghubungi pemilik kelab malam untuk mendapatkan input mereka dan bersama-sama membuat perancangan paling sesuai untuk semua.

“Permintaan daripada kami adalah agar mereka mendapatkan maklum balas kami tentang bagaimana kami boleh menampung pembukaan semula semasa endemik. Mereka perlukan jaminan dan kita perlukan jaminan.

“Saya pasti mereka bimbang, dan begitu juga kami. Kita kena berkumpul dan berbincang. Mereka mungkin tidak biasa dengan industri ini, jadi mereka perlu membenarkan kami berkongsi pandangan dan membuat SOP serta panduan yang betul,” katanya.

Lim menambah dia tidak naif untuk mempercayai apabila terdapat penglibatan, sektor itu akan dibenarkan untuk menyambung semula operasi sertam-merta tetapi sekurang-kurangnya ini bermakna ada peluang cerah untuk pemilik perniagaan kembali membuka premis.

Persatuannya merancang untuk bertemu dengan tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta Kementerian Kewangan dalam beberapa hari dan minggu akan datang bagi membincangkan perkara itu.

Isu lain yang mengecewakan Lim ialah apabila pemilik kelab yang lebih besar tidak mengetengahkan isu ini terutamanya kerana mereka mempunyai duit yang banyak untuk terus mengekalkan perniagaan dalam tempoh penutupan yang lebih lama.

Zouk di KL dimiliki dan dikendalikan oleh Genting Group dan Wicked at W Hotel dimiliki oleh Benson Tay dari Focus Dynamics Group Berhad, Dion Tan dari Tropicana Corporation Berhad dan Morvin Tan dari Berjaya Corporation Berhad.

Lim mempunyai 109 pekerja di kelabnya tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan dia terpaksa melepaskan 70 pekerjanya.

“Saya tiada pilihan. Kami akan buka semula operasi satu hari nanti dan apabila ia berlaku kami akan mendapatkan mereka semula. Sementara itu saya sudah meminta mereka mencari pekerjaan lain,” katanya.

Lim juga bernasib baik apabila tuan tanahnya bersetuju memberinya moratorium ke atas sewa premisnya.

“Kedai saya sudah ditutup selama 19 bulan dan saya berhutang lebih RM1 juta untuk bayaran sewa. Kami juga sudah kerugian berjuta-juta akibat PKP,” katanya.

Lim berkata beliau menjangkakan sektor hiburan akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk bangkit semula apabila ia dibenarkan beroperasi semula.

“Jika tiada dasar drastik kerajaan, dalam 18 hingga 24 bulan kita boleh kembali normal,” katanya. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen