SELEPAS 40 tahun berehat, sensasi pop Sweden ABBA muncul semula dalam persada hiburan antarabangsa dengan album baharu bertajuk “Voyage”, bersama konsert avatar digital yang dirancang di London.
Selepas menghasilkan album terakhir mereka “The Visitors” pada 1981, Agnetha, Bjorn, Benny dan Anni-Frid - membentuk akronim ABBA - tidak menerbitkan sebarang muzik baharu.
“Voyage” disiarkan secara langsung pada tengah malam Khamis dalam pelbagai zon waktu, sekali gus menarik kembali peminat lama seluruh dunia.
“Kami masih tidak percaya… yang ia sesuatu yang kami boleh alami sekali lagi dalam hidup kami,” kata peminat lama ABBA Jeffrey de Hart, 62, pada satu parti mendengar kumpulan muzik itu di Stockholm.
Pengkritik bagaimanapun tidak sependapat mengenai kepulangan mereka dalam persada.
Majalah Amerika Syarikat Rolling Stone memuji album itu sebagai “berbaloi untuk ditunggu,” manakala akhbar Guardian di United Kingdom menolaknya dengan “no thank you for the music (tidak, terima kasih untuk muzik itu),” menggunakan semula salah satu lagu paling terkenal kumpulan itu.

“ABBAtars”
Selepas bertahun-tahun spekulasi dan petunjuk, kumpulan itu akhirnya mengumumkan perjumpaan semula bersama album baharu pada September, dengan single “I still have faith in you” dan “Don’t shut me down”.
Namun, bukan setakat 10 lagu “Voyage” sahaja kumpulan itu akan terbitkan.
Mereka juga akan mendedahkan avatar digital - digelar “ABBAtars” - pada konsert di London pada Mei, yang akan menyerupai diri mereka pada 1979.
Hologram itu adalah produk projek sejak bertahun-tahun mereka, direka dengan kerjasama syarikat kesan khas pencipta Star Wars George Lucas.
Berulang kali ditangguhkan oleh masalah teknikal, kemudian oleh pandemik Covid-19, mereka akhirnya akan dedahkan kepada peminat pada Mei.
Kumpulan itu pada mulanya mengimpikan idea avatar, sebelum muzik dikeluarkan.
Menjelang 2018, ABBA telah mengesahkan khabar angin yang mereka kembali ke studio dengan sekurang-kurangnya dua lagu baharu dirakamkan.
Bagaimanapun, kepayahan menghasilkan muzik masih menjadi rahsia mereka.
“Mula-mula cuma dua lagu. Kemudian kami cakap: ‘Baik, mungkin kita perlu buat beberapa lagu lain’, apa kata anda dan mereka kata ‘Ya’,” ujar Benny Andersson, 74.
“Kemudian saya bertanya kepada mereka ‘kenapa kita tak buat album penuh?’,” tambahnya.
Beliau dan Bjorn Ulvaeus, 76, telah mempromosikan album itu sejakbeberapa minggu ini, dengan Agnetha Faltskog yang berusia 71 tahun dan Anni-Frid Lyngstad, 75, memilih untuk tidak terlibat dengan jadual promosi yang sibuk.
Semua promosi dihentikan selama 24 jam minggu ini selepas dua orang maut pada konsert penghormatan di utara Stockholm pada Selasa. – AFP, 5 November, 2021.
Komen