PFIZER pada Jumaat mendakwa ujian klinikal pilnya untuk merawat Covid-19 telah menunjukkan ia sangat berkesan, menganggapnya sebagai langkah utama menamatkan pandemik.
Sejak krisis kesihatan global melanda, banyak pihak cuba menghasilkan pil merawat koronavirus. Setakat ini semua rawatan adalah sama ada melalui suntikan intravena atau vaksin.
Pil anti-Covid jenama Pfizer adalah yang kedua selepas jenama Merck, yang sebenarnya merupakan ubat selsema yang dijenamakan semula untuk melawan koronavirus. Pil jenama Pfizer pula dikatakan dicipta khusus untuk melawan Covid.
Pil Pfizer yang dipanggil Paxlovid dikatakan dapat capai 89 peratus keberkesanan menghalang risiko kemasukan ke hospital atau kematian dalam kalangan pesakit Covid dewasa yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit teruk, kata syarikat Amerika Syarikat itu.
Keputusan ujian klinikal peringkat pertengahan hingga akhir dikatakan begitu kukuh sehingga Pfizer berhenti merekrut orang baharu untuk diuji, katanya.
Pfizer akan serahkan data kajian kepada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) secepat mungkin sebagai sebahagian daripada usaha untuk penggunaan kecemasan.
“Berita hari ini adalah pengubah permainan sebenar dalam usaha global untuk menghentikan pandemik ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla.
“Data ini mencadangkan calon antivirus oral kami, jika diluluskan atau dibenarkan oleh pihak berkuasa kawal selia, berpotensi untuk menyelamatkan nyawa pesakit, mengurangkan jangkitan teruk Covid-19, dan menghapuskan sehingga sembilan daripada 10 kemasukan ke hospital,” tambahnya.
Analisis utama data itu mengguna pakai ujian yang dibuat terhadap 1,219 orang dewasa di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Afrika dan Asia.
Pada hari-hari sejurus selepas gejala muncul, sesetengah daripada mereka diberi ubat eksperimen dan yang lain mendapat plasebo untuk setiap 12 jam selama lima hari.
“Analisis interim berjadual menunjukkan pengurangan sebanyak 89 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian berkaitan Covid-19 berbanding plasebo pada pesakit yang dirawat dalam tempoh tiga hari dari permulaan simptom,” kata Pfizer.
Sepuluh orang yang mengambil plasebo meninggal dunia, manakala dalam kalangan mereka yang mendapat ubat Pfizer, tidak ada yang maut.
Pfizer merancang untuk membuat ujian terhadap 3,000 orang namun berhenti apabila ia mencapai 70 peratus daripada itu kerana keputusan ubat itu sangat memberangsangkan. – AFP, 5 November, 2021.
Komen