RAKAMAN video menunjukkan seorang pegawai atasan Vietnam sedang menikmati stik yang diselaputi daun emas di sebuah restoran mewah di London mencetuskan kemarahan warga maya di negara Asia Tenggara itu, yang rakyatnya secara purata memperoleh pendapatan hanya beberapa dolar sehari.
To Lam, menteri keselamatan awam – yang agensinya menangani pemantauan perbezaan pendapat dan pengawasan aktivis di negara autoritarian itu – dilihat menikmati stik di Nusr-Et Steakhouse di kawasan golongan kaya Knightsbridge.
Nusr-Et, dinamakan sempena chef Turki Nusret Gokce – dikenali hampir 40 juta pengikut Instagramnya sebagai Salt Bae – menyajikan stik disalut daun emas 24 karat yang boleh dimakan, dilaporkan berharga lebih AS$1,000.
David Beckham, Leonardo DiCaprio, Naomi Campbell – dan kini Lam yang berusia 64 tahun – menjadi antara pengunjung renstoran stik yang mempunyai cawangan di seluruh dunia.
Video ahli politik Vietnam itu, yang pada asalnya disiarkan oleh restoran itu sebelum dipadam, tersebar di Tiktok dan Facebook di Vietnam pada Jumaat.
Sebilangan besarnya marah dengan keadaan negara sedang bergelut selepas gelombang dahsyat Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang kerja dan KDNK negara Vietnam menguncup teruk.
“Orang ramai berdepan kesusahan yang dahsyat akibat wabak, tetapi (pegawai) berseronok dengan gaya selebriti bertaraf dunia,” tulis Pham Viet Duc di Facebook.
“Kerajaan sentiasa mengeluh masalah kewangan namun mereka mencuri wang rakyat untuk kehidupan mewah ini seolah-olah tiada hari esok,” katanya.
Ada yang menyiarkan gambar kanak-kanak miskin di wilayah paling miskin di Vietnam dalam komen mengenai klip itu.
“Hanya secara tidak sengaja orang melihat video ini, tetapi mereka selalu membelanjakan wang dengan cara ini atau beribu kali ganda,” kata Tommy Lee di Facebook.
Purata rakyat Vietnam memperoleh pendapatan bulanan sekitar AS$184 pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Am negara itu.
Tidak jelas bila video itu dirakamkan, tetapi Lam berada di Britain untuk persidangan iklim COP26 dan bertemu menteri dalam negeri Britain pada Isnin.
Lam, seorang daripada ahli 18 politbiro berkuasa Vietnam, menjadi menteri keselamatan awam sejak 2016 dan mengambil tindakan keras terhadap pergerakan hak asasi manusia di negara komunis itu.
Tiga tahun lalu, Presiden Venezuela Nicolas Maduro turut dikritik kerana makan di cawangan kumpulan restoran yang sama di Turki. – AFP, 5 November, 2021.
Komen