SINGAPURA telah mengharamkan sebuah buku mengenai penapisan “imej yang menyinggung perasaan” termasuk kartun kontroversi Nabi Muhammad SAW, kata pihak berkuasa.
Republik itu mempunyai undang-undang yang ketat bagi membendung ucapan kebencian dan tindakan yang menggalakkan niat jahat antara kumpulan agama atau kaum.
Buku bertajuk “Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship” diharamkan pengedarannya di Singapura, kata Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) pada Isnin.
Buku berkenaan disifatkan mengandungi pengeluaran semula kartun yang diterbitkan oleh mingguan satira Perancis Charlie Hebdo, yang membawa kepada keganasan dan protes di luar negara, tambah pengawal selia itu.
“Kartun Charlie Hebdo yang menyinggung perasaan pertama kali muncul pada 2006 dan telah dilabel secara meluas sebagai tidak bertanggungjawab, melulu dan perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.
“Red Lines” dikarang Cherian George, profesor media Singapura yang kini berpangkalan di Hong Kong, dan Sonny Liew, seorang kartunis pemenang anugerah dari Singapura.
Diterbitkan pada Ogos, ia menampilkan wawancara dengan kartunis yang ditapis di seluruh dunia dan meneroka penapisan dalam bentuk grafik.
Sebagai tindak balas kepada larangan itu, George berkata pengarang “tidak bersetuju dengan cara Charlie Hebdo menggunakan kartun yang mempromosikan sikap anti-Islam di Eropah”.
“Kami tunjuk sebilangan kecil daripada kartun itu sebagai contoh ucapan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP. “Niatnya adalah untuk mendidik pembaca tentang bagaimana sesetengah kartun boleh membahayakan minoriti di Barat.”
Beliau berkata mereka tahu beberapa negara, seperti Singapura, tidak akan menerima imej itu dan bersedia untuk menyunting buku itu untuk pasaran, tetapi republik itu memilih untuk mengharamkan terus buku tersebut.
Menurut IMDA, buku itu juga mengandungi rujukan yang menghina agama Hindu dan Kristian.
Sesiapa yang disabitkan kesalahan mengimport, menjual, mengedar, membuat atau mengeluarkan semula penerbitan yang tidak menyenangkan berdepan denda sehingga 5,000 dolar Singapura, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada 2006 akhbar mingguan satira Perancis Charlie Hebdo menerbitkan kartun Nabi Muhammad.
Pada 2015, pembunuhan beramai-ramai di pejabatnya mengorbankan 12 nyawa, selepas ia mencetak semula beberapa imej kontroversi itu.
Seorang guru Perancis dipenggal oleh seorang pelampau tahun lalu selepas menunjukkan kepada kelasnya kartun Charlie Hebdo tentang Nabi itu.
Protes kemarahan meletus di Asia dan Timur Tengah selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron mempertahankan hak untuk menerbitkan kartun. – AFP, 5 November, 2021.
Komen