PIHAK berkuasa Honduras semalam menahan calon pilihan raya presiden Santos Rodriguez atas dakwaan pengubahan wang haram berkait kes dadah dan pembunuhan, termasuk kes bunuh pemberi maklumat Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA).
Rodriguez, yang juga bekas pegawai tinggi tentera, ditahan menjelang pilihan raya pada 28 November ini. Semua calon utama berdepan tuduhan rasuah dan pengedaran dadah.
Presiden Juan Orlando Hernandez sendiri didakwa terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah. Adiknya Tony Hernandez pada Mac lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah New York atas kesalahan sama.
Pihak berkuasa berkata seorang saksi mendakwa Rodriguez menyimpan separuh wang dan dadah yang dirampas dalam satu operasi tentera.
Menurut saksi, beliau juga terlibat dalam pembunuhan ramai orang termasuk seorang pemberi maklumat DEA.
Rodriguez dalam satu video menafikan semua tuduhan.
“Mereka boleh selidik apa yang mereka mahu. Tiada apa yang hendak saya sembunyikan,” katanya.
Rodriguez berkata beliau ditahan angkara Hernandez yang berdendam kerana adiknya dipenjarakan di Amerika Syarikat. – AFP, 5 November, 2021.
Komen