Korea Selatan jamin 60 juta dos vaksin Pfizer untuk 2022


Korea Selatan sudah memvaksinasi lengkap 76.1% penduduknya dan 80.6% menerima suntikan pertama mereka. – Gambar EPA, 5 November, 2021.

KOREA Selatan pada Jumaat menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS)  Pfizer Inc. untuk membeli 30 juta dos vaksin Covid-19 yang akan diterima tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 60 juta dos, kata pihak berkuasa kesihatan di Seoul.

Perjanjian itu adalah susulan kepada perjanjian awal yang ditandatangani pada Ogos yang menjamin 30 juta dos vaksin dan tambahan 30 juta dos, lapor Agensi Berita Yonhap menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Kontrak itu adalah sebahagian daripada rancangan Korea Selatan untuk memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi bagi menampung keperluan suntikan dos pertama untuk 52 juta penduduk negara itu tahun depan, menurut KDCA.

Pada Jun, negara itu memulakan persiapan bagi mendapatkan lebih banyak vaksin untuk tahun depan memandangkan pandemik Covid-19 dijangka berterusan meskipun selepas negara itu mencapai imuniti kelompok.

Sejak melancarkan program vaksinasinya pada penghujung Februari, seramai 76.1% penduduk Korea Selatan telah lengkap divaksin dan 80.6% menerima suntikan pertama mereka. – Bernama, 5 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen