HAKIM Mahkamah New York menetapkan tarikh 4 Januari untuk perbicaraan kes Putera Andrew yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS).
“Mahkamah akan mendengar hujah mengenai usul defendan untuk menolak aduan pada 4 Januari 2022 jam 10 pagi,” tulis Hakim Lewis Kaplan.
Duke of York, 61, mengalami tekanan sejak Ogos apabila Virginia Giuffre, 38, memfailkan aduan di Mahkamah Persekutuan Manhattan menuduh anak kedua Ratu Elizabeth melakukan serangan seksual ketika dia masih di bawah umur lebih 20 tahun lalu.
Giuffre mendakwa pengurus dana AS, mendiang Jeffrey Epstein “meminjamkannya” untuk seks dengan rakan sekutunya yang kaya dan berkuasa termasuk Andrew.
Dia berkata putera raja itu menyerangnya di rumah Epstein di New York dan di pulau peribadinya di Kepulauan Virgin.
Giuffre juga mendakwa Andrew menderanya secara seksual di rumah Ghislaine Maxwell di London.
Epstein meninggal dunia di penjara Manhattan pada 2019 sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks kanak-kanak
Andrew menafikan dakwaan itu dan menggesa kes berkenaan ditolak sambil mengatakan ia “tanpa merit” dan Giuffre melakukannya bagi tujuan kewangan.
Hakim Kaplan berkata jika permintaan putera raja itu ditolak, ia harus diadakan antara September dan Disember tahun depan. – AFP, 5 November, 2021.
Komen