Bajet 2022 tidak adil, melebihkan Bumiputera, kata pakar ekonomi


Hailey Chung Wee Kye

Peruntukan untuk komuniti Cina dan India cuma sekitar 3% daripada RM11.4 bilion yang diperuntukkan untuk Bumiputera, kata pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2021.

PERBEZAAN ketara antara peruntukan untuk Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam Bajet 2022 jelas menunjukkan kerajaan tidak adil, kata pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.

Ini kerana peruntukan RM345 juta untuk komuniti Cina dan India cuma tidak sampai 3% daripada RM11.4 bilion yang diperuntukkan untuk Bumiputera, katanya.

“Yang penting bagi saya bagi Bumiputera dan orang Islam ialah konsep keadilan yang kita harus pegang kukuh. Di mana konsep keadilan?

“Ya betul ramai Cina kaya, (tetapi) ramai juga yang miskin. Kita ada persepsi Cina berniaga Melayu makan gaji. 

“Tak ada banyak beza, bermaksud kaum Melayu dan Cina yang makan gaji itu jumlahnya besar dan hampir sama. Jadi, adilkah kita?” kata Muhammed dalam program bual bicara dalam talian bertajuk “Bajet 2022: Mampukah Rawat Ekonomi Melayu” anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) malam tadi.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan untuk Bumiputera dalam tiga belanjawan termasuk Bajet 2022 adalah RM30 bilion.

“Apa hasilnya? Kita pun tak tahu. RM30 bilion ini ke mana, Bumiputera yang mana yang dibantu?”

Selain Muhammed, pengkritik juga memberi reaksi sama selepas Bajet 2022 dibentangkan minggu lalu.

Ia disifatkan sebagai belanjawan pilihan raya, hanya fokus kepada orang Melayu serta berlawanan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bumiputera juga menerima peruntukan RM6.6 bagi kemudahan pendidikan, RM4.8 bilion bagi melaksana pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan dan geran padanan bernilai RM100 juta syarikat PKS untuk meneroka peluang perniagaan di dalam bidang aeroangkasa.

Manakala RM200 juta disediakan untuk kaum Cina antaranya untuk melaksana program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan skim pembiayaan PKS.

Bagi kaum India pula, sebanyak RM145 juta diperuntukkan antaranya untuk melaksana program memperkasa sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun Nasional. – 5 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen