SOP di sekolah mampu pastikan murid selamat, kata pakar kesihatan


Angie Tan

Tanggungjawab memastikan sekolah selamat untuk kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu guru tetapi juga ibu bapa, kata pakar kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

PROSEDUR operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan (KPM) memenuhi keperluan dalam memastikan persekitaran yang selamat bagi murid kembali memulakan sesi persekolahan secara bersemuka, kata pakar kesihatan.

Pembahagian kelas kepada dua kumpulan yang bergilir setiap minggu, pengudaraan dalam bilik darjah pada tahap optimum dan penjarakan fizikal yang dilaksanakan buat masa ini sudah memadai, tambah mereka.

Ibu bapa pada masa yang sama digesa supaya menjalankan ujian kendiri Covid-19 secara berkala ke atas anak masing-masing dan mengelak kawasan sesak terutama kanak-kanak yang belum disuntik vaksin.

Sekolah di seluruh negara dibuka secara berperingkat bermula 31 Oktober dan 1 November.

Pakar Perunding Pediatrik Prof Madya Dr Gan Chin Seng dari Universiti Malaysia berkata SOP yang dikeluarkan KPM sudah mencukupi bagi memastikan murid berada dalam persekitaran yang selamat.

“Bagi kanak-kanak yang belum divaksin, terutamanya bawah 12 tahun, mereka ini berisiko mencetus kluster baharu.

“Oleh itu, jalan terbaik untuk mencegahnya ialah dengan menjalankan ujian Covid-19 secara kerap.

“Kebanyakan guru sudah lengkap vaksinasi dan perlu lakukan ujian kendiri setiap minggu. Langkah sama juga perlu diambil jika mereka mengalami gejala.

‘Begitu juga murid, lakukan ujian kendiri sebelum datang ke sekolah jika mengalami gejala,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar perubatan juga berkata pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun membantu  melindungi mereka daripada Covid-19 terutama varian Delta, susulan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) meluluskan pemberian vaksin Pfizer-BioNTech kepada golongan ini.

Ahli biologi jangkitan Lim Chee Han bagaimanapun berkata ibu bapa juga berperanan penting dalam memastikan keselamatan anak. 

Ibu bapa katanya juga perlu kerap melakukan ujian kendiri Covid-19 secara berkala kerana mereka inilah yang lebih kerap berada di luar rumah.

“Ibu bapa yang paling kerap berada di luar, jadi mereka mesti melakukan ujian kendiri sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

“Kalau tidak, mereka akan berisiko menjangkiti anak yang memudiannya akan disebarkan pula di sekolah,” katanya.

Menurut Lim, tanggungjawab memastikan sekolah selamat untuk kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu guru tetapi juga masyarakat.

“Sumber jangkitan di sekolah selalunya berpunca dari guru atau ibu bapa. Jadi, jangan hantar anak ke sekolah jika mereka atau ibu bapa mengalami sebarang gejala.” – 6 November, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen