INSIDEN tembakan yang berlaku di pantai berhampiran pusat peranginan Cancun di Mexico menyebabkan dua suspek pengedar dadah terbunuh semalam.
Kejadian itu turut mencetuskan panik dalam kalangan pelancong asing, kata pendakwa raya.
“Terdapat pergaduhan antara ahli kumpulan penentang pengedar dadah di sebuah pantai di Bahia Petempich, Puerto Morelos,” tulis Pejabat Peguam Negara Quintana Roo menerusi Twitter.
“Dua daripada mereka maut,” katanya sambil menambah tiada sebarang kecederaan serius lain yang berlaku.
Pelancong yang menginap di hotel di sebelah pantai berkata orang ramai berlari mencari perlindungan selepas tembakan dilepaskan.
“Pengunjung memberitahu saya mereka dihampiri lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ketika bermain bola tampar di pantai.
“Semua orang bertempiaran lari dari pantai dan kolam renang. Kakitangan membawa kami ke bilik tersembunyi di belakang dapur,” kata Mike Sington, seorang pelancong dari Amerika Syarikat yang menginap di Hyatt Ziva Riviera Cancun Resort menerusi Twitter.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh pelancong, ada dalam kalangan mereka masih dalam pakaian mandi menunggu di lobi hotel bersama kakitangan.
“Orang ramai berpelukan antara satu sama lain dan menangis,” kata Sington yang menggambarkan dirinya sebagai bekas eksekutif kanan di NBC Universal.
Mexico dilanda pertempuran darah berkaitan kartel yang menyaksikan lebih 300,000 orang terbunuh sejak kerajaan mengerahkan tentera dalam perang melawan dadah pada 2006.
Walaupun Riviera Maya dan pusat peranginan terkemuka lain termasuk Playa del Carmen dan Tulum secara amnya dianggap lebih selamat dari kebanyakan negara lain, namun terdapat peningkatan kes keganasan di kawasan berkenaan.
Pada Oktober, dua pelancong asing terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan antara suspek pengedar dadah di Tulum. – AFP, 4 November, 2021.
Komen