Pembentukan kerajaan Sudan 'kian hampir', kata tentera


Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, jeneral veteran yang berkhidmat di bawah pemerintahan presiden Omar al-Bashir selama tiga dekad, menegaskan pengambilalihan tentera "bukan rampasan kuasa" tetapi langkah "untuk membetulkan perjalanan peralihan". – Gambar EPA, 4 November, 2021.

TENTERA Sudan pada Khamis berkata pembentukan kerajaan baharu kini “makin hampir”, berikutan pengambilalihan tentera minggu lalu yang mencetuskan kecaman antarabangsa dan protes antirampasan kuasa besar-besaran.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan—ketua de facto Sudan sejak penggulingan presiden autokratik Omar al-Bashir pada 2019—minggu lalu membubarkan kerajaan, menahan pemimpin awam dan mengisytiharkan darurat.

Perebutan kuasa tentera pada 25 Oktober mendorong pengantara tempatan dan antarabangsa untuk mendesak kompromi antara kedua-dua pihak.

“Kami sedang pertimbang semua inisiatif dalaman dan luaran untuk memenuhi kepentingan negara,” kata penasihat media Burhan Burhan Taher Abouhaga seperti dipetik Sudan TV.

“Pembentukan kerajaan sudah hampir,” katanya.

Sejak Ogos 2019 Sudah diperintah oleh majlis awam-tentera sebagai sebahagian daripada peralihan yang kini tergelincir kepada pemerintahan awam penuh.

Perpecahan yang semakin mendalam dan ketegangan berlarutan lama antara tentera dan orang awam telah menjejaskan peralihan itu.

Rampasan kuasa minggu lalu mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara terhadap tentera—demonstrasi yang disambut oleh tindakan keras yang mematikan oleh pasukan keselamatan, mengakibatkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Kuasa dunia menuntut kembalikan segera pemerintahan awam, dan membuat pemotongan bantuan yang akan melanda negara yang sudah pun berhadapan krisis ekonomi yang teruk.

Diplomat Barat menggesa supaya Perdana Menteri Abdalla Hamdok dikembalikan semula, manakala kuasa besar Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menggesa peralihan yang diketuai orang awam dipulihkan.

Burhan, jeneral veteran yang berkhidmat di bawah pemerintahan Bashir selama tiga dekad, menegaskan pengambilalihan tentera “bukan rampasan kuasa” tetapi langkah “untuk membetulkan perjalanan peralihan”.

Beliau berikrar untuk membentuk satu lagi kerajaan awam. – AFP, 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen