UK negara pertama lulus pil anti-Covid


United Kingdom hari ini meluluskan pil anti-Covid molnupiravir yang dikatakan berfungsi mengurangkan keupayaan virus untuk mereplikasi, sekali gus mengurangkan penyakit. – Gambar EPA, 4 November, 2021.

BRITAIN meluluskan penggunaan pil antiviral Merck untuk merawat pesakit Covid-19 ringan hingga sederhana, umum Agensi Kawal Selia Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA).

“Hari ini hari bersejarah buat negara kita kerana United Kingdom kini merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan antiviral yang boleh diambil di rumah untuk Covid-19,” kata menteri kesihatan Sajid Javid.

“Ini akan menjadi pengubah permainan bagi mereka yang paling lemah dan imunotindasan, yang tidak lama lagi akan dapat menerima rawatan terbaharu ini,” tambahnya.

Antiviral digelar molnupiravir berfungsi dengan mengurangkan keupayaan virus untuk mereplikasi, sekali gus mengurangkan penyakit.

MHRA berkata kajiannya menyimpulkan ia “selamat dan berkesan untuk mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian pada individu yang dijangkiti Covid-19 ringan hingga sederhana yang berisiko tinggi menjadi teruk”.

Berdasarkan data ujian klinikal, ubat ini paling berkesan apabila diambil semasa peringkat awal jangkitan dan MHRA mengesyorkan agar ia digunakan dalam tempoh lima hari dari permulaan simptom.

Ia telah dibenarkan untuk digunakan pada orang yang mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko untuk mendapat penyakit yang teruk, termasuk obesiti, usia tua, diabetes dan penyakit jantung.

Britain, yang merupakan antara negara paling teruk dilanda pandemik mengumumkan pada 20 Oktober ia telah memesan 480,000 dos molnupiravir daripada syarikat farmasi gergasi Amerika Syarikat, Merck.

Pengawal selia ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah telah memulakan penilaian ubat tersebut.

Merck telah pun menandatangani perjanjian dengan kerajaan lain, termasuk AS, yang telah merancang untuk membeli 1.7 juta dos jika molnupiravir diluluskan pengawal selia. – AFP, 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen