Kaum ibu kesal komen tidak sensitif Hamzah Zainuddin


Hailey Chung Wee Kye

Hamzah Zainuddin dalam satu wawancara berkata wanita berkahwin dengan warga asing dan ingin kerakyatan untuk anak mereka sepatutnya pulang ke tanah air untuk bersalin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2021.

IBU yang menunggu kerakyatan anak mereka yang lahir di luar negara memulakan kempen di media sosial susulan komen daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai isu yang menjadi perbalahan itu.

Menggunakan hashtag #sayaJUGAanakMalaysia, para ibu ini menjadikan media sosial untuk menjelaskan komplikasi jika pulang ke Malaysia untuk melahirkan anak, sambil berkata kesetiaan mereka kepada negara tidak perlu dipertikaikan.

Ini sebagai respons kepada Hamzah, yang dalam satu wawancara di RTM TV1 awal bulan ini berkata wanita yang mempunyai pasangan warga asing dan inginkan kerakyatan untuk anak mereka sepatutnya pulang ke tanah air untuk bersalin.

Di Twitter, mereka mendedahkan tentang kehamilan berisiko, kemungkinan keguguran dan masalah kesihatan lain yang meletakkan mereka dalam situasi hidup dan mati, menyukarkan perjalanan pulang ke Malaysia.

Mereka berkata kenyataan Hamzah menunjukkan sikap tidak sensitifnya, dan tiada kesedaran mengenai realiti dihadapi wanita hamil.

Kavita Kaur menggesa menteri berhenti memandang remeh keadaan ibu mengandung.

“Wanita tidak seharusnya disuruh merisikokan nyawa sendiri dan bayi untuk menaiki pesawat dan pulang ke Malaysia untuk melahirkan anak.

“Saya tidak dibenarkan pulang ke tanah air oleh dua doktor. Dalam keadaan terdesak untuk pulang, saya mendapatkan janji temu dengan seorang lagi doktor untuk mendapatkan pandangan ketiga.

“Pada pagi itu, bayi saya dilahirkan pramatang dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama beberapa minggu,” katanya.

Seorang lagi ibu, yang memberikan namanya sebagai “Alison”, berkongsi apa yang dilaluinya dan suami warga asing selepas merancang pulang ke Malaysia untuk melahirkan anak mereka.

“Semasa kehamilan saya, kami sebenarnya berulang kali dari China ke Malaysia sebanyak dua kali untuk temu janji pakar perbidanan di Pulau Pinang.

“Malangnya air ketuban saya pecah sehari sebelum penerbangan pulang ke Pulau Pinang untuk bersalin.

“Saya dimasukkan ke hospital serta-merta dan terpaksa melahirkan anak perempuan pramatang pada usia kandungan 33 minggu melalui pembedahan cesarean kecemasan,” katanya.

Permohonan anak perempuan Alison untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dibuat sejurus selepas kelahirannya, tetapi tiada sebarang progres dengan pihak berkuasa. Anaknya kini berusia lima tahun.

Rekha Sen, seorang lagi ibu yang kecewa, berkata kegigihan ibu-ibu warga Malaysia memperjuangkan kerakyatan untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara sebenarnya adalah tanda patriotisme.

“Kami tidak kurang patriotik terhadap negara kerana melahirkan anak di luar negara.

“Kami sangat menginginkannya supaya boleh menyumbang kepada tanah air kami, bukan sebaliknya,” katanya.

Kempen di Twitter itu diketuai oleh Family Frontiers, sekumpulan ibu Malaysia yang memperjuangkan kewarganegaraan untuk anak mereka yang lahir di luar negara. 

Pada 12 Oktober, sehari selepas temu bual Hamzah di RTM, Family Frontiers menulis di Twitter yang ia akan menyiarkan respons dalam beberapa hari akan datang untuk menyangkal kenyataan menteri.

Family Frontiers berkata terdapat juga ibu Malaysia yang terperangkap di luar negara atas sebab yang munasabah kerana sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Hamzah dalam temu bual RTM, juga berkata kerakyatan tidak boleh diberikan dengan mudah kepada “sesiapa sahaja” kerana undang-undang sedia ada hanya membenarkan lelaki Malaysia secara automatik menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September membuat keputusan penting yang memihak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, mengisytiharkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara juga boleh dianugerahkan kewarganegaraan.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan, menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sedang merayu keputusan mahkamah itu.

Saman itu difailkan oleh Family Frontiers bersama enam ibu warga Malaysia terhadap kerajaan.

Family Frontiers dan aktivis lain membangkitkan ketidakadilan gender dalam undang-undang sedia ada yang membenarkan bapa Malaysia secara automatik memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara, manakala sebaliknya bagi ibu Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mengesahkan JPN hanya meluluskan 21 sahaja daripada 2,352 permohonan dibuat oleh ibu Malaysia untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara, bagi tempoh 2018 - 2021. Daripada jumlah permohonan itu, 31 ditolak.

Kementerian juga tidak menyatakan sebarang sebab bagi 31 penolakan atau status kes yang belum selesai.

Kadar kejayaan 0.89% menimbulkan persoalan tentang pemilihan bagi kelulusan.

“Dengan kadar kelulusan hanya tujuh permohonan kerakyatan setahun, kementerian akan mengambil masa 336 tahun untuk memproses 2,352 permohonan yang diterima dalam tempoh tiga tahun lepas!

“Kami tertanya-tanya jika kementerian berpendapat kanak-kanak Malaysia mempunyai jangka hayat yang begitu panjang!” Family Frontiers berkata semasa forum mengenai isu itu pada 31 Oktober.

Ini juga bermakna kira-kira 2,300 permohonan masih tidak diketahui nasibnya sejak 2018.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, isu kerakyatan melibatkan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pada Sabtu lalu, Kabinet memutuskan Peguam Negara Idrus Harun akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung isu itu. – 5 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen