Laporan AS tentang senjata nuklear China 'penuh prejudis', kata Beijing


China hari ini menyelar laporan Amerika Syarikat mengenai senjata nuklear negara komunis itu, menggelar laporan itu penuh prejudis dan mendakwa AS menggembar-gembur tentang ancaman nuklear oleh Beijing. – Gambar AFP, 4 November, 2021.

KERAJAAN komunis China membidas laporan Amerika Syarikat mengenai perluasan senjata nuklear China, menggelarnya “penuh prejudis”, selain menuduh Washington menggembar-gembur ancaman itu.

Komen kementerian luar China dibuat selepas Pentagon berkata Beijing mengembangkan senjata nuklearnya lebih cepat daripada yang dijangkakan, merapatkan jurang dengan Amerika Syarikat.

Laporan AS berkata China mungkin memiliki 700 kepala peledak nuklear yang boleh dihantar menjelang 2027, dan 1,000 menjelang 2030—senjata yang dua setengah kali ganda besar daripada apa yang diramalkan Pentagon tahun lalu.

Namun ia menyatakan Beijing mungkin tidak melancarkan serangan atom tanpa provokasi terhadap musuh bersenjata nuklear.

“Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan AS, seperti laporan serupa sebelum ini, mengabaikan fakta dan penuh prejudis,” kata jurucakap kementerian luar China, Wang Wenbin.

Beliau menambah Washington menggunakan laporan itu untuk “menggembar-gemburkan cakap-cakap tentang ancaman nuklear China”, menyifatkan Amerika Syarikat sebagai “sumber ancaman nuklear terbesar di dunia”.

Penilaian AS muncul dalam laporan tahunan Pentagon kepada Kongres mengenai perkembangan ketenteraan China. – AFP, 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen