RUSIA telah menghalau seorang wartawan Belanda yang bertugas dengan media harian Volkskrant dalam apa yang disebut akhbar itu sebagai keputusan “misteri” berdasarkan pelanggaran pentadbiran yang sudah bertahun.
Visa milik Tom Vennink telah dibatalkan pada Isnin dan dipulangkan ke Belanda pada Rabu, dengan pihak berkuasa Rusia berkata beliau dilarang amsuk kembali paling awal 2025.
Vennink berkata pengusirannya selepas enam tahun di Moscow ada kesan menakutkan kepada wartawan lain, berlaku tiga bulan selepas Rusia menghalau wartawan BBC Sarah Rainsford.
“Pelik yang kes pelanggaran kecil tahun lalu kini dibuka semula untuk batalkan visa saya,” kata Vennink seperti dipetik oleh Volkskrant pada Khamis.
Pihak berkuasa Rusia memberitahunya yang beliau telah memasuki wilayah utara tanpa kebenaran pada Januari 2020 dan gagal melaporkan keberadaannya di Moscow pada 2019.
Katanya, beliau juga menghadapi masalah baru-baru ini untuk memperbaharui akreditasi akhbarnya.
Vennink berkata beliau tidak tahu sebab pengusiran itu “tetapi saya tidak nampak sebab mengapa ia harus ditujukan kepada saya secara peribadi atau terhadap de Volkskrant.”
“Apa yang jelas, hubungan antara Belanda dan Rusia sangat teruk sejak pesawat MH17 jatuh pada 2014,” katanya.
Tiga warga Russia dan seorang warga Ukraine sedang dibicarakan secara in absentia di Belanda berhubung penerbangan Malaysia Airlines MH17, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dengan kesemua 298 penumpang hilang sehingga ke hari ini.
Ketua Pengarang Volkskrant Pieter Klok berkata pihak berkuasa Rusia tidak menjelaskan mengapa mereka memetik pelanggaran lama untuk mengusir wartawan itu.
“Ia adalah misteri kepada kami mengapa kerajaan Rusia memutuskan perkara ini sekarang,” kata Klok dipetik akhbar harian itu.
Menteri Luar Belanda Ben Knapen menyatakan rasa kesal, berkata telah ada rundingan di Moscow dan The Hague dengan pihak berkuasa Rusia.
“Kami menerima jawapan visa wartawan tidak boleh dilanjutkan atas sebab pentadbiran,” kata Knapen.
Tiada reaksi segera dari Moscow.
Rusia pada Ogos menafikan pengusiran wartawan BBC Sarah Rainsford adalah sebahagian daripada tindakan keras terhadap media atau balas dendam terhadap London kerana menafikan akreditasi kepada wartawan Rusia. – AFP, 4 November, 2021.
Komen