Kes Covid-19 meningkat, Perancis wajibkan semula pakai pelitup muka


Pelitup muka akan diwajibkan semula di sekolah di 39 jabatan di wilayah Perancis berikutan kes baharu Covid-19 melepasi tahap amaran. – Gambar EPA, 4 November, 2021.

PELITUP muka akan diwajibkan semula di sekolah di 39 jabatan di wilayah Perancis berikutan kes baharu Covid-19 sudah melepasi tahap amaran, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik jurucakap kerajaan Gabriel Attal semalam.

Sebelum ini, sekolah di 22 jabatan dikenakan arahan pemakaian pelitup muka pada bulan lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 61 atau hampir separuh daripada wilayah Perancis.

Attal berkata di 39 jabatan berkenaan, kadar jangkitan melebihi 50 kes seminggu bagi setiap 100,000 penduduk.

Mengikut protokol yang diumumkan Kementerian Pendidikan, sesebuah sekolah yang mencatatkan kes kurang dari 50 kes bagi setiap 100,000 penduduk selama lima hari berturut-turut, maka pelajar sekolah rendah tidak perlu memakai pelitup muka.

Walaupun jumlah kes baharu harian jauh lebih rendah, Attal berkata sebaik sahaja keadaan bertambah buruk, langkah kesihatan yang ditarik balik akan dikuat kuasa semula.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan, terdapat 10,050 kes baharu, 39 kematian dan 6,764 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital. – Bernama, 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen