PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia semalam mengeluarkan senarai penggunaan kecemasan untuk vaksin Covaxin buatan India, dalam langkah yang dijangka dapat meningkatkan suntikan Covid-19 yang tersedia di negara miskin.
Vaksin yang dibuat oleh Bharat Biotech India dan dengan kadar keberkesanan 78% selepas dua dos selama sebulan “sangat sesuai untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana keperluan penyimpanan yang mudah”, kata badan PBB itu.
Covaxin ialah vaksin pertama yang dibangunkan dan dikilangkan sepenuhnya di India yang mendapat kelulusan WHO.
Tidak seperti vaksin mRNA oleh Pfizer/BioNTech yang muncul sebagai peneraju terhadap Covid-19, Covaxin menggunakan teknologi “tidak aktif” yang lebih tradisional yang digunakan selama beberapa dekad dalam vaksin terhadap penyakit seperti polio, influenza bermusim dan rabies.
Teknologi ini menggunakan versi kuman mati yang menyebabkan penyakit untuk meningkatkan tindak balas imun.
Salah satu kelebihan utama vaksin tersebut ialah ia lebih mudah disimpan berbanding suntikan mRNA yang perlu disimpan pada suhu di bawah sifar. Ini memudahkan ia untuk diagihkan terutamanya di negara miskin yang mungkin kekurangan kemudahan yang diperlukan.
Covaxin boleh disimpan antara 2 hingga 8 darjah Celsius, menurut laman web syarikat.
India mengalu-alukan langkah itu dengan Menteri Luar Subrahmanyam Jaishankar menerusi Twitter berkata bahawa ia “memudahkan perjalanan untuk ramai warga India dan menyumbang kepada ekuiti vaksin”. – AFP, 4 November, 2021.
Komen