SEBUAH pesawat kargo Rusia terhempas dan terbakar di Siberia semalam menyebabkan sekurang-kurangnya lima hingga tujuh penumpang maut, kata pihak berkuasa tempatan.
Pesawat Antonov An-12 hilang dari radar semasa berada di luar bandar timur Irkutsk, kata kementerian kecemasan menerusi saluran Telegramnya.
Mereka berkata pasukan penyelamat sudah tiba di tempat kejadian di mana pesawat itu terbakar.
Gabenor wilayah Irkutsk, Igor Kobzev memberitahu pemberita tiada mangsa yang terselamat dalam nahas itu sambil menambah “antara lima dan tujuh orang” berada dalam pesawat berkenaan.
Pihak berkuasa penerbangan Rusia, Rosaviatsia berkata pesawat itu dikendalikan oleh syarikat Belarus.
Kementerian pengangkutan Belarus dalam satu kenyataan berkata pesawat itu membawa tujuh penumpang di dalamnya di mana dua warganegara Rusia, dua warga Ukrain dan tiga warga Belarus.
Kementerian menambah pesawat itu sedang menyelesaikan perjalanan dalam “keadaan cuaca yang sukar”.
Pesawat Antonov dibuat semasa era Soviet dan masih digunakan di seluruh bekas Kesatuan Soviet untuk pengangkutan awam dan tentera.
Mereka terlibat dalam beberapa kemalangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Akibat kerap terlibat dalam kemalangan, syarikat penerbangan utama Rusia beralih dari pesawat Soviet yang sudah lama kepada pesawat yang lebih moden.
Tetapi penyelenggaran yang teruk dan piawaian keselamatan yang longgar masih berterusan dan negara baru-baru ini berdepan bencana udara yang boleh membawa maut.
Pada September, enam orang maut apabila sebuat pesawat pengangkut An-26 terhempas di luar bandar Khabarovsk di Far Eastern.
Pada Julai, sebuah lagi pesawat sama terhempas membunuh 28 penumpang. – AFP, 4 November, 2021.
Komen