PENTADBIRAN wilayah paling ramai penduduk di Kanada semalam memutuskan tidak akan memaksa petugas kesihatan mereka mendapatkan vaksin Covid-19 dan mengatakan pemberhentian besar-besaran kakitangan yang tidak mendapatkan suntikan vaksin hanya akan meruntuhkan institusi hospital.
Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Ontario dan Quebec – wilayah paling teruk dilanda wabak itu – diumumkan secara berasingan.
Quebec pada asalnya menetapkan tarikh akhir pertengahan Oktober untuk petugas kesihatan divaksin sepenuhnya tetapi melanjutkan sehingga 15 November dengan harapan lebih ramai yang mahu menerima suntikan vaksin.
Menteri Kesihatan Quebec Christian Dube memberitahu sidang akhbar bahawa beberapa orang yang menolak – kira-kira 14,000 orang atau tiga peratus petugas kesihatan di wilayah itu kini boleh memilih untuk mendapatkan ujian Covid-19 dengan kerap.
“Kami sudah cuba segala-galanya untuk memvaksin tiga peratus terakhir,” kata Dube sambil menambah bahawa beliau tidak memahami mengapa beberapa doktor atau jururawat masih enggan menerima vaksin.
“Malangnya rangkaian kesihatan kita dalam keadaan sekarang tidak boleh berfungsi tanpa mereka ini,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri Ontario Doug Ford berkata selepas menimbang kesan “potensi kehilangan puluhan ribu petugas kesihatan” yang enggan mendapatkan vaksin terhadap “sebilangan kecil wabak” semasa di hospital di wilayah itu, beliau memutuskan untuk tidak mewajibkan pengambilan vaksin.
Keputusan sedemikian akan diserahkan kepada hospital individu, katanya.
Pada sidang akhbar, Menteri Kesihatan Ontario Christine Elliott menunjukkan kesan vaksin mandatori di bidang kuasa lain seperti British Columbia terpaksa membatalkan pembedahan dan ujian diagnostik selepas menggantung lebih 3,000 pekerja petugas kesihatan yang tidak divaksin.
Ottawa mewajibkan vaksin Covid-19 untuk 300,000 birokrat persekutuan dan sesiapa sahaja yang menaiki kapal terbang atau kereta api di negara itu tetapi tidak menyatakan berapa ramai pekerja terlepas tarikh akhir 30 Oktober untuk menunjukkan bukti vaksinasi.
Sejak Isnin, syarikat penerbangan Air Canada dan WestJet serta agensi transit Toronto mengumumkan penggantungan tanpa gaji lebih 1,200 pekerja secara keseluruhan kerana gagal menerima suntikan. – AFP, 4 November, 2021.
Komen