Polis Melaka kenal pasti 16 'kawasan panas' 


Polis akan menjalankan pemantauan sepanjang proses PRN Melaka sehingga hari mengundi pada 20 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

POLIS Melaka mengenal pasti 16 kawasan “panas” termasuk lapan di daerah Melaka Tengah yang akan dipantau sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka menjadi tumpuan penyokong parti serta pertandingan pelbagai penjuru.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata semua anggota dan pegawai bersiap siaga bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini bagi memastikan kelancaran PRN supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi berjalan lancar.

“Semua kawasan kita akan lakukan pengawasan dan pemantauan rapi, cuma 16 kawasan ‘hotspot’ (kawasan panas) ini diberi tumpuan utama kerana kita jangkakan 16 kawasan tersebut ia melibatkan pertandingan lebih daripada dua penjuru.

“Selain itu polis Melaka turut mendapat bantuan dari empat unit dron daripada Unit Dron yang  akan digunakan di kawasan panas ini untuk membuat penilaian keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Kententeraman Awam “Public Order Excercise” (POX) di Balai Polis Melaka Tengah di Melaka, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Afzanizar Ahmad.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata sepanjang PRN itu seramai 3,835 anggota polis termasuk 1,245 anggota dari kontijen luar serta bantuan dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA)  Bukit Aman.           

Beliau berkata selain itu sebanyak 17 pasukan “Strike Force” di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah dibentuk untuk persiapan menghadapi pilihan raya selain turut mendapat bantuan dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Bukit Aman.

“Apa yang kita lakukan pada pagi ini ialah POX iaitu latihan yang menunjukkan kita amat bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan terutama keadaan tidak terkawal seperti jika ada pengisytiharan darurat dibuat bagi menjamin ketenteraman awam,” katanya. – Bernama, 3 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen