Tolak pengkhianat, fokus bina 'United Opposition', kata Syed Saddiq kepada PH


Raevathi Supramaniam

Pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata tindakan Pakatan Harapan berunding dengan empat pengkhianat yang menumbangkan kerajaan Melaka adalah sesuatu yang tragik, sepatutnya memberi fokus membina pembangkang yang bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) perlu menolak bekerjasama dengan ahli politik yang melompat parti, sebaliknya memberi fokus kepada United Opposition (pembangkang yang bersatu), kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata adalah tragik melihat PH berunding untuk bekerjasama dengan katak politik dan bukan sekutunya dalam pembangkang.

“PH yang erat bekerja bersama saya dilihat cenderung untuk berunding dengan mereka yang tidak berprinsip, melompat keluar dari parti berbanding rakan dan sahabat seperjuangan, termasuk saya sendiri.

“Malangnya, mereka lebih nampak nilai yang ada pada katak politik yang tidak ada prinsip,” katanya dalam surat terbuka kepada ahli Parlimen PH.

Pada Sabtu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH telah hampir memuktamadkan keputusan sama ada untuk menerima Idris Haron dan Nor Azman Hassan, dua bekas Adun daripada Umno yang memainkan peranan menjatuhkan kerajaan negeri Melaka bulan lepas.

Kedua-dua mereka bersama Noor Effandi Ahmad dan dan Norhizam Hassan Baktee, menarik sokongan terhadap Menteri Besar Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 20 November, manakala pencalonan pada 8 November.

Pengasas Muda itu juga menekankan empat sebab utama PH mesti menolak individu-individu ini, antaranya kerana mereka adalah pengkhianat.

“Saat mereka mengkhianati mandat rakyat, dan memilih kuasa berbanding rakyat, mereka akan buat lagi dan lagi,” kata Syed Saddiq menambah bahawa rakyat berhak mendapat yang lebih elok.

Bekerjasama dengan pelompat parti, katanya, akan mengheret PH ke tahap yang sama seperti yang mereka cuba lawan.

“Bagaimana untuk kita angkat dan bawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti apabila kita sendiri bergelumang dalam kesalahan yang sama?

“Saya sesungguhnya percaya bahawa blok Pembangkang adalah jauh lebih gah berbanding bayang-bayang 4 Pengkhianat.”

Syed Saddiq berkata empat orang yang menarik sokongan mereka kepada PH selepas pilihan raya umum 2018, berbuat demikian untuk tujuan tertentu.

“Idris Haron melompat dari Umno ke PH hanya kerana mahu dicalonkan sebagai calon ketua menteri Melaka.

“Dia tidak secara tiba-tiba percaya bahawa Umno adalah ancaman kepada rakyat Melaka, ataupun dia melompat kerana sudah lama menjadi pengkritik Umno - yang mana jelas dia bukan.

“Jadi, apa yang membuatkan sesiapa pun berfikir bahawa selepas segala yang berlaku ini, akan ada sekelumit rasa taat setia dan kredibiliti dari 4 Pengkhianat ini?” soalnya.

Selepas PRU14, Norhizam yang merupakan Adun DAP Pengkalan Baru, dan Adun PKR Rembia Muhammad Jailani Khamis berpaling tadah menyebabkan kerajaan negeri PH tumbang.

Tambah Syed Saddiq, jika mereka sanggup menumbangkan kerajaan negeri dua kali, mereka tidak akan teragak-agak untuk melakukannya buat kali ketiga. – 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen