Surat terbuka Syed Saddiq kepada Pakatan Harapan


SAYA mahu Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Melaka. Saya mempertahankan mandat rakyat bersama-sama PH ketika bekas parti saya mengkhianati rakyat.

Saya tidak menyertai, atau menandatangani apa-apa sokongan kepada Perikatan Nasional dari hari pertama.

Saya hilang jawatan menteri untuk mempertahankan prinsip yang kita kongsi bersama. Saya dibuang dari parti yang saya sertai buat pertama kali, parti yang turut saya tubuhkan bersama.

Saya menyokong idea United Opposition, dan saya menandatangani akuan bersumpah untuk Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri selaras dengan semangat PRU14.

Saya juga diugut dan didakwa di mahkamah akibat mempertahankan mandat rakyat.

Meskipun segala apa yang telah kita lalui bersama, PH yang erat bekerja bersama saya dilihat cenderung untuk berunding dengan mereka yang tidak berprinsip, melompat keluar dari parti berbanding rakan dan sahabat seperjuangan, termasuk saya sendiri.

Malangnya, mereka lebih nampak nilai yang ada pada katak politik yang tidak ada prinsip.

Izinkan saya untuk jelaskan 4 sebab utama mengapa kita harus sebulat suara menolak katak politik.

1. Mereka adalah pengkhianat. 

Itu sudah teramat jelas. PH tidak seharusnya bekerjasama dengan pengkhianat dan menyertai sekumpulan perompak. 

Saat mereka mengkhianati mandat rakyat, dan memilih kuasa berbanding rakyat, mereka akan buat lagi dan lagi.

Jangan sesekali meletakkan kita dalam satu bilik yang sama bersama pengkhianat. 

Penyokong kita berhak yang lebih baik dari itu. Rakyat berhak yang lebih elok dari itu.

2. Kalau kita teruskan juga bersama pengkhianat, kita akan menjadi kumpulan yang tidak berprinsip seperti pihak lawan kita.

Bagaimana untuk kita angkat dan bawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti apabila kita sendiri bergelumang dalam kesalahan yang sama? 

Bagaimana kita ingin menghukum mereka yang mencetuskan Langkah Sheraton sedangkan kita juga menyokong tindakan yang serupa?

Kita ada tanggungjawab moral untuk bekerja bersama dengan niat yang betul. Kita kumpulkan rakan-rakan pembangkang yang ada kesungguhan, bekerja keras dan jujur.

Adakah kita masih lagi perlu mempertimbangkan untuk bekerja bersama pengkhianat? Adakah kita kekurangan calon yang lebih baik dan lebih baru?

Saya sesungguhnya percaya bahawa blok pembangkang adalah jauh lebih gah berbanding
bayang-bayang empat pengkhianat.

3. Apabila empat pengkhianat ini telah mengkhianati PH, keputusan mereka itu didalangi sebab yang jelas.

Idris Haron melompat dari Umno ke PH hanya kerana mahu dicalonkan sebagai calon ketua menteri Melaka. Dia tidak secara tiba-tiba percaya bahawa Umno adalah ancaman kepada rakyat Melaka, ataupun dia melompat kerana sudah lama menjadi pengkritik Umno - yang mana jelas dia bukan. 

Kita sudah boleh lihat hati dan niatnya dari awal lagi. Ia bukanlah untuk Melaka, atau rakyat dan semestinya bukan untuk PH. 

Malah, ada perbualan yang dibocorkan dimana Idris memberi petanda dia masih lagi berbaik dengan Umno dan  Ismail Sabri Yaakob, cuma kurang berbaik dengan sekumpulan yang lain sahaja.

Jadi, apa yang membuatkan sesiapa pun berfikir bahawa selepas segala yang berlaku ini, akan ada sekelumit rasa taat setia dan kredibiliti dari empat pengkhianat ini?

4. Mengkhianati parti kamu dan PH ini bukan hal yang kecil.

Ada proses dan pertimbangan panjang. Mereka tidak dipaksa untuk mengkhianati PH.

Mereka tidak ada masalah untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka dua kali dan mereka sudah tentu gembira sahaja untuk menumbangkan untuk kali ketiga.

Kepada rakan-rakan PH, saya menggesa kamu untuk membuat keputusan yang betul.

Fokus bina United Opposition. Fokus kepada rakyat. – 3 November, 2021.

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Parlimen Muar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen