Komander Taliban maut serangan IS di hospital


Anggota tentera Taliban berkawal di depan hospital tentera di Kabul susulan serangan bunuh diri IS menyebabkan 19 terbunuh setakat ini. – Gambar EPA, 3 November, 2021.

KOMANDER tentera Taliban, Hamdullah Mokhlis antara yang terbunuh dalam serangan bunuh diri dilakukan lima anggota IS di hospital tentera di Kabul, semalam.

Hamdullah, anggota utama rangkaian Haqqani dan pegawai dalam pasukan khas Badri adalah pemimpin paling kanan Taliban terbunuh sejak kumpulan itu mengambil alih Kabul, September lalu.

Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya 19 maut dan 50 lagi cedera. Serangan berlaku apabila penyerang bunuh diri meletupkan bom di pintu masuk hospital manakala pemberontak bersenjata lain menyerbu masuk dan melepaskan tembakan.

Kumpulan yang menggelar diri sebagai IS-Khorasan mengaku bertanggungjawab dalam serangan menggunakan senjata dan bom di tengah bandar Kabul itu.

Menerusi kenyataan yang dikongsi menerusi Telegram, kumpulan itu berkata lima anggotanya melancarkan serangan luar biasa secara serentak di kawasan ditetapkan.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabiullah Muhajid berkata serangan berjaya dikawal pasukan khas dalam tempoh 15 minit.

Katanya, pasukan khas terbabit diturunkan ke bumbung hospital menggunakan satu daripada helikopter dirampas daripada bekas kerajaan Afghanistan yang disokong Amerika Syarikat (AS).

“Serangan itu menyasarkan orang awam, doktor dan pesakit di hospital,” katanya.

Beliau tidak mengesahkan angka kematian sebenar tetapi menjelaskan dua tentera Taliban, dua wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh di luar hospital dalam serangan itu.

Seorang pegawai kementerian kesihatan pula berkata, 19 mayat dan kira-kira 50 yang cedera dihantar ke hospital di Kabul manakala semua penyerang disahkan meninggal dunia .

“Serangan bermula dengan seorang penyerang yang menunggang motosikal meletupkan diri dekat pintu masuk hospital,” katanya sambil menambah dua letupan disasarkan di hospital berkenaan.

Hospital terbabit yang menjadi medan rawatan tentera Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan pernah diserang oleh penyerang bersenjata pada 2017 yang menyebabkan 30 maut. – AFP, 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen