PAS tidak hilang pengaruh guna logo Perikatan, kata pemimpin parti


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Isnin lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan parti Islam itu bertanding PRN Melaka dengan logo PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

PEMIMPIN PAS percaya menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan mengikis pengaruh mereka sebagai parti Melayu dan Islam, ketika ia sendiri kurang berpengaruh di negeri itu.

Dalam tiga pilihan raya umum lalu, PAS hanya menang satu kerusi di Melaka iaitu kerusi DUN Bukit Baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dan itu pun dengan majoriti 48 undi.

Malah mereka tidak ragu dengan kebijaksanaan pimpinan parti, yang menetapkan keputusan politik itu selepas mendengar pandangan Majlis Syura Ulama PAS.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata keputusan menggunakan lambang PN untuk pilihan raya adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka.

“Menjadi anggota PN, sudah pasti parti akan memutuskan begitu (menggunakan logo PN). Jadi saya percaya keputusan itu mencerminkan PAS dalam PN dan kami akan akur,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Roslan, biarpun ini kali pertama PAS tidak bertanding dengan lambangnya sendiri, beliau yakin rakyat terutamanya pengundi di Melaka sudah sedia mengenali parti Islam itu.

“Sudah tentu ada keraguan (apabila PAS tidak menggunakan logo). Tetapi, mari kita cuba. Kami tidak mempunyai isu kerana parti telah memutuskan dan kami menerimanya,” tambahnya.

Lewat Isnin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan parti Islam itu bertanding PRN Melaka dengan logo PN.

Ini kali kedua PAS tidak bertanding dengan logonya sendiri dalam sejarah parti itu sejak penubuhannya pada 1951. PAS bertanding dengan logo Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum keluar gabungan itu tiga tahun kemudian.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata ahli PAS selalunya akan akur dengan keputusan pimpinan, termasuk dalam soal lambang parti untuk PRN Melaka.

“Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan ia akan diterima baik oleh akar umbi.

“Saya yakin dan percaya sekiranya satu keputusan yang dibuat parti melalui proses membuat keputusan yang betul maka ia akan diterima dan dipatuhi ahli dengan baik,” katanya.

Hadi mengumumkan pendirian PAS selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menentukan perkara itu dengan panduan Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada Ahad.

Keputusan itu dibuat mengikut mandat yang diberi kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui perlembagaan parti untuk meluluskan pemakaian lambang parti dalam pilihan raya.

Ditanya sama ada PAS wajar terus menggunakan logo PN untuk PRU akan datang, Nasrudin berkata perkara itu akan ditentukan mengikut keadaan politik semasa nanti.

“Akan datang kita tak tahu lagi. Keputusan kita buat berasaskan ijtihad politik semasa, jadi apa yang akan datang terpulang kepada pucuk pimpinan parti, sebab politik sesuatu yang dinamik… ia bergantung kepada perkembangan semasa,” katanya.

Dalam tiga PRU lalu, PAS hanya menang di DUN Bukit Baru pada PRU13, dan itu pun dengan majoriti 48 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

Seorang ahli PAS di Gombak yang mahu dikenali dengan nama Idham mengakui ahli PAS akan akur dengan keputusan pimpinan untuk parti Islam itu menggunakan logo PN dalam PRN Melaka.

Beliau menganggap itu strategi parti, yang bagaimanapun tidak akan menjejaskan pengaruh PAS sebagai sebuah parti politik.

“Kita tidak hilang pengaruh, PAS masih relevan kerana kita ada penyokong setia,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Kemaman Ramlan Mahmood juga berpendapat keputusan itu tidak akan jadi isu dalam kalangan akar umbi PAS.

“Apa yang diputuskan pucuk pimpinan sama ada untuk pilihan raya negeri atau umum akan diterima oleh akar umbi.

“Tiada masalah dengan keputusan. Ini adalah permulaan yang baik,” katanya.

Dalam tiga PRU lepas, PAS menang satu kerusi pada PRU13 iaitu Bukit Baru, dengan kelebihan 48 undi. Kerusi itu hari ini dikenali dengan nama Bukit Katil dan disandang bekas ketua menteri Adly Zahari yang juga pengerusi PH Melaka.

Pada PRU14, PAS kalah semua 24 kerusi yang ditandinginya daripada 28 kerusi DUN Melaka dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Undi kepada calon PAS di enam kerusi bagaimanapun sekiranya dicampur dengan undi yang diraih calon BN melebihi undi yang diberi kepada calon PH. Enam kerusi itu ialah Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.

Faktor itu menjadi antara asas beberapa pihak dalam Umno dan PAS berharap mereka dalam bekerjasama untuk mengelak pertembungan tiga penjuru yang boleh menguntungkan PH.

Umno mahu bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, selari dengan kerjasama rasmi dua parti itu melalui Muafakat Nasional yang termeterai sejak September 2019.

Umno bagaimanapun tegas menolak kerjasama dengan Bersatu, yang merupakan komponen PN bersama PAS.

Mengenai sokongan kepada PAS nanti, Roslan yakin prestasi PAS di Melaka konsisten seperti negeri lain di pantai barat Semenanjung.

“PAS masih relevan dan kuat di Melaka. Kami ada kehadiran kami di semua kerusi Parlimen dan DUN. Kami juga ada jentera kami di sana,” katanya. – 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen