Hilang 18 hari, kanak-kanak 4 tahun ditemui selamat


Cleo Smith ditemui sendirian di sebuah rumah berkunci di Carnarvon, tidak jauh dari di mana beliau dipercayai diculik 18 hari lalu, kata polis Australia Barat. – Gambar AFP, 3 November, 2021.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Australia ditemui selamat, selepas lebih dua minggu hilang ketika berkhemah bersama keluarganya.

Cleo Smith ditemui sendirian di sebuah rumah berkunci di bandar tepi pantai di Carnarvon, tidak jauh dari di mana beliau dipercayai diculik 18 hari lalu, kata polis Australia Barat.

“Seorang pegawai mendukungnya dan bertanya siapa namanya,” kata timbalan ketua polis Col Blanch dalam satu kenyataan di Facebook.

“Kanak-kanak itu berkata ‘Nama saya Cleo’.”

Polis menahan seorang lelaki di Carnarvon untuk soal siasat selepas memecah masuk ke rumah berkenaan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan, kata Blanch.

Kanak-kanak itu dikembalikan kepada ibu bapanya, dengan ibunya Ellie Smith memberi kenyataan di media sosial.

“Keluarga kami bersatu semula,” katanya di Instagram.

Ellie sebelum ini berkata anak perempuan sulungnya itu hilang selepas mendapati khemah dibuka pada 6 pagi. Beliau kemudian merayu kepada orang ramai di media sosial untuk mencari anaknya.

Operasi mencari kanak-kanak itu dilakukan secara meluas di laut, udara dan darat yang mendapat perhatian negara.

Penemuan itu turut diraikan ramai menerusi perkongsingan khabar gembira di media sosial. – AFP, 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen