Operasi cari mangsa bangunan runtuh di Lagos diteruskan


Orang ramai menunggu di pintu masuk bangunan 21 tingkat di Ikoyi yang runtuh dan menyebabkan 15 maut setakat ini sementara ramai lagi dipercayai masih terperangkap. – Gambar EPA, 3 November, 2021.

PASUKAN penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa tertimbus di bawah bangunan tinggi yang runtuh di Lagos kelmarin, sehari selepas kemalangan itu menyebabkan 15 maut dan ramai lagi terperangkap.

Pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Ibrahim Farinloye berkata angka kematian kini meningkat kepada 15 orang dan masih berusaha mengeluarkan sembilan mangsa yang terperangkap.

“Kami menemui mayat pekerja yang maut. Angka kematian kini mencecah 15 orang dan sembilan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, pekerja pembinaan mendakwa puluhan lagi rakan mereka masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Insiden bangunan sedang dibina runtuh sering berlaku di Lagos dan kebanyakan negara Afrika akibat penggunaan bahan yang tidak mematuhi piawaian, kecuaian dan penguatkuasaan yang lemah.

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari dalam kenyataan pada Isnin menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan lagi operasi menyelamat mangsa yang masih terperangkap.

Bangunan pencakar langit setinggi 21 tingkat terbabit yang dibina di Ikoyi, di bandar perdagangan Nigeria, runtuh pada Isnin lalu.

Polis berkata masih terlalu awal untuk menyatakan punca kejadian tetapi pengurus agensi pengurusan kecemasan Lagos, Femi Oke-Osanyintolu berkata berlaku pelanggaran syarat dalam pembinaan bangunan itu. – AFP, 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen