19 maut, IS serang hospital tentera di Kabul


Pasukan tentera Taliban berkawal di luar hospital tentera di Kabul, Afghanistan selepas serangan IS yang menyebabkan 19 maut. – Gambar EPA, 3 November, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 19 maut dan lebih 50 yang lain cedera dalam satu serangan di hospital tentera di Kabul semalam, dalam insiden keganasan terbaru di Afghanistan.

Kumpulan Islamic State (IS), yang juga pesaing Taliban, mengaku bertanggungjawab atas serangan bersenjata di pusat bandar negara itu.

IS-Khorasan (IS-K) dalam satu kenyataan di apilikasi Telegram berkata lima pejuang IS melaksanakan serangan tersusun.

“Pemberontak IS mahu menyasarkan orang awam, doktor dan pesakit di hospital,” kata jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid, mendakwa pasukan tentera Taliban mematahkan serangan itu dalam 15 minit.

Katanya, Taliban menghantar pasukan khas ke bumbung hospital dari helikopter.

Serangan berlaku selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupannya berhampiran pintu masuk hospital. Sekumpulan pemberontak bersenjata kemudian menyerbu masuk ke kawasan hospital, melepaskan tembakan.

Zabiullah berkata dua pejuang Taliban, dua wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh di luar hospital. – AFP, 3 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen