Dasar kabotaj tidak sekat pelaburan asing, kata Wee


Noel Achariam

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong (kiri) berkata negara akan buat keuntungan apabila pelan baharu projek sistem kabel menghubungkan Jepun, Filipina dan Malaysia dipertimbang dan dilaksanakan. – Gambar tangkap layar Facebook, 2 November, 2021.

WEE Ka Siong berpegang teguh dengan dasar kabotajnya, berkata Malaysia tidak hilang pelaburan asing seperti yang didakwa pihak tertentu.

Menteri Pengangkutan itu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam ini bertembung dalam debat mengenai dasar kabotaj yang disiar secara langsung.

Ini berikutan dakwaan Lim pada 11 Oktober yang Wee telah mengelirukan Parlimen selepas bekas pengerusi MDEC Dr Rais Hussin mendakwa keputusan membatalkan dasar kabotaj telah menyebabkan kerugian projek kabel dasar laut yang boleh membawa masuk pelaburan asing bernilai sehingga RM15 bilion.

Wee menolak dakwaan yang beliau punca negara hilang pelaburan asing.

Katanya, beliau mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif Orient Link Yoshio Sato yang bertanggungjawab ke atas projek kabel bawah laut Apricot bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) melibatkan pembinaan sistem kabel bawah laut baharu sepanjang 12,000 kilometer yang akan menghubungkan Singapura, Indonesia, Filipina, Jepun, Taiwan dan Guam.

Wee kemudian menunjukkan perbualan video dengan Yoshio yang mengatakan terdapat rancangan untuk menghubungkan Jepun, Filipina menuju Kuching di Malaysia, yang sedang dipertimbangkannya.

“Apricot ada pelan baharu untuk bawa IntraAsia Cable Express ke Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Adakah ini tidak beri keuntungan buat Malaysia? Sebab itu MOT (Kementerian Pengangkutan) dipanggil untuk bawa masuk pelaburan.

“Jadi, jangan tuduh MOT cuba sekat pelaburan,” kata Wee.

Lim berkata beliau bingung apabila Wee mendakwa tidak sekat pelaburan.

“Saya hairan kerana maklumat yang diberikan bukan daripada DAP atau pembangkang tetapi daripada Rais yang merupakan bekas orang kerajaan.

“Jika anda tidak boleh percaya kakitangan kerajaan, maka siapa yang anda boleh percaya? Apa yang penting bukanlah siapa yang akan menang debat, tetapi bagaimana kita boleh pulihkan keyakinan pelabur,” kata Lim.

Lim, yang merupakan bekas menteri kewangan, turut memetik kajian baru-baru ini oleh kumpulan pemikir MIDF Research yang menganggarkan negara akan rugi pelaburan RM1.7 bilion selepas dikecualikan daripada projek kabel dasar laut Apricot.

Pengecualian kabotaj diperkenalkan kali pertama oleh bekas menteri pengangkutan Anthony Loke ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan. Ia dibuat untuk pembaikan kabel kapal selam pada Mac 2019, selepas aduan kelewatan baiki kabel dasar laut oleh syarikat gergasi berkenaan.

Wee mengembalikan pengecualian itu pada November tahun lalu. – 2 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen