SEKURANG-KURANGNYA 19 orang terbunuh dan 50 cedera dalam serangan ke atas hospital tentera di Kabul pada Selasa, yang terbaharu menggegarkan Afghanistan sejak Taliban berkuasa.
Serangan itu berlaku apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri berhampiran pintu masuk tapak yang luas itu.
Lelaki bersenjata kemudian memecah masuk ke kawasan hospital dan menembak, kata Taliban.
“Sembilan belas mayat dan kira-kira 50 orang yang cedera telah dibawa ke hospital di Kabul,” kata pegawai kementerian kesihatan yang enggan namanya didedahkan kepada AFP.
Taliban menghabiskan 20 tahun melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan yang disokong Amerika Syarikat yang digulingkan.
Kini mereka berhadapan perjuangan untuk membawa kestabilan ke Afghanistan, yang dilanda sejak beberapa minggu ini oleh beberapa siri serangan berdarah yang didakwa dilakukan kumpulan Negara Islam.
Setakat ini belum ada mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab mengadakan serangan pada Selasa itu.
“Semua penyerang sudah mati. Serangan itu dimulakan oleh pengebom bunuh diri yang menunggang motosikal sebelum meletupkan dirinya di pintu masuk hospital,” kata seorang pegawai Taliban dari pasukan media.
“Beberapa penyerang memasuki perkarangan hospital.”
Dua letupan menyasarkan kawasan hospital, katanya sebelum ini dalam satu kenyataan.
Kakitangan AFP di bandar itu mendengar letupan kedua kira-kira 30 minit selepas yang pertama dilaporkan.
“Saya dengar letupan besar datang dari pusat pemeriksaan pertama. Kami diberitahu untuk pergi ke bilik selamat. Saya juga dengar bunyi tembakan,” kata seorang doktor di hospital Sardar Mohammad Daud Khan di Kabul kepada AFP semasa serangan itu berlaku.
“Saya masih boleh dengar tembakan pistol di dalam bangunan hospital. Saya rasa penyerang pergi dari bilik ke bilik… seperti kali pertama ia diserang,” tambah doktor itu. – AFP, 2 November, 2021.
Komen